Friday, March 19, 2010

Dapat Tapi Tak Gembira

Budak-budak tau nak lawa dan pakai baju cantik macam yang dipakai oleh kawan baiknya. Itulah yang terjadi pada aku iaitu berhajat sangat nak pakai baju kurung yang dibuat dari kain 'clubman'.

Keluarga kawanku tu berada juga orangnya, jadi baju dia yang paling elok. Kalau dulu kain tu itulah yang paling top di kampong. Sekarang ni kain jenis clubman masih ada cuma diguna untuk buat baju sekolah.

Aku pun minta Mak buatkan sehelai baju kurung. Mulanya Mak diam; maknanya tak mampu nak beli sebab tak ada duit. Hari tu aku betul-betul menangis. Apa yang aku cakap dan Mak cakap aku pun sudah tak ingat. Pada petang hari itu juga aku tengok dari tingkap Mak kayuh basikal ke arah jalan besar.

Kesudahannya aku dapat baju kurung biru kain clubman tapi hati aku cukup pedih bila memakainya. Sampai sekarang masih teringat. Lepas tu aku tak pernah minta sesuatu dari Mak dengan sungguh-sungguh seperti aku minta baju tu.

Cukuplah sekali aku paksa Mak adakan sesuatu tetapi siapakah yang sanggup berkorban kalau bukan seseorang insan yang bernama emak?

0 comments:

Post a Comment