Monday, October 18, 2010

Dengki dan Akibatnya

Dengki biasanya hasil dari perasaan dendam, cemburu, marah, benci dan niat jahat. Ianya adalah sifat iblis dan kerana dengki iblis berubah dari beriman kepada ingkar pada perintah Allah swt. Orang yang dengki berharap agar nikmat yang ada pada orang lain hilang dan beralih kepadanya sahaja. Dia tidak merasa gembira dan aman sehingga cita-citanya tercapai iaitu dia lebih dari orang lain.

Iblis menyimpan perasaan dengki terhadap Adam as kerana merasa dirinya lebih mulia dari manusia yang baru diciptakan itu. Iblis dan seluruh keturunan syaitan telah menjadi golongan dilaknat kerana kedengkian dan kesombongan mereka. Jelaslah bahawa kedengkian mengakibatkan keburukan. Seseorang yang ada peasaan dengki akan mudah dipengaruhi oleh syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.

Allah swt memberi peringatan dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (An Nisaa': 60). Sifat dengki bukan sahaja menambah dosa bahkan mengurangkan pahala. Orang yang dengki akan kehilangan pahala sehingga boleh jatuh muflis di akhirat kerana boleh jadi dia telah menganiaya dan menzalimi orang lain dengan lisan dan perbuatannya.

Rasulullah saw bersabda: Dengki itu memakan (membinasakan) kebajikan (pahala), seperti api memakan (membakar) kayu yang kering. (HR Abu Dawud, Ibnu Majah).
Kadangkala seseorang sedar bahawa mempunyai perasaan dengki sangat merugikan tetapi dia tetap meneruskannya agenda jahatnya. Sifat dengki sangat sukar dibuang dari hati kecuali jika berusaha dengan bersungguh dan benar-benar ingin bertaubat kepada Allah swt.

0 comments:

Post a Comment