Monday, March 29, 2010

Di kejar Kuda Kepang

Di kampongku pertunjukan kuda kepang diadakan di halaman rumah penduduk untuk meraikan majlis berkhatan atau selepas kenduri kahwin. Di malam tersebut digantung enam lampu gasolin untuk menerangi gelanggang.

Ada pemain gendang, gong dan angklung serta penunggang kuda yang berpakaian seragam putih, berkasut dan stokin sekerat lutut. Beberapa penunggang kuda akan berbaris dan bergerak mengikut alunan gendang sambil ketuanya memukul cambuk panjang.

Selepas 45 minit beberapa pemain sudah tak sedarkan diri. Mereka bergerak dan berpusing dengan mata terpejam di sekeliling gelangang. Lalu ada siulan dari belakang kumpulan gadis dan pemain tadi akan meluru ke tempat itu. Bertempiaranlah mereka berlari hingga ada yang tertinggal kasut dan selipar.

Kanak-kanak seperti kami tumpang sekaki menjerit, berlari, melompat longkang dan bersembunyi di bawah rumah. Tiada siapa yang cedera dipukul oleh pemain kerana dia cepat ditarik ke gelanggang. Kemudian ada beberapa orang pemerhati lelaki masuk ke gelanggang dalam keadaan tidak sedar sambil menari tanpa kuda.

Kemeriahan semasa pertunjukan kuda kepang ialah bila kena kejar jadi kononnya jangan pakai minyak wangi atau sunting bunga ketika menonton. Ketika hampir pukul 12 malan ketua akan memegang pemain seorang demi seorang dan memicit dahi sambil membaca mentera untuk menyedarkan mereka.

Biasanya bila pagi barulah kami perasan ada benjol di kepala atau dahi serta luka di kaki kerana berlari dalam gelap untuk menyelamatkan diri dari dikejar kuda kepang.

0 comments:

Post a Comment