Wednesday, March 31, 2010

Kenapa Tak Pandai Ngaji

Aku dan adik ngaji dengan Kak Yang, rumahnya tiga buah rumah dari rumah nenek. Aku suka ke sana kerana rumahnya besar dengan tiang-tiang batu setinggi 12 kaki dari tanah dan tingkapnya panjang hingga ke lantai.

Di waktu petang kami mengaji dekat tingkap menghadap pokok jambu bol setinggi rumah. Pokok ni kalau berbunga seluruh dahan ditutupi kuntum bunga pink dan bunga gugur bertaburan macam carpet; pink dan tebal. Juga ada burung coklat dan kuning melompat-lompat di dahan.

Bila pokok dah berputik aku tunggu bila buahnya akan masak. Bila buah masak, aku nak cepat habis ngaji supaya cepat ke dapur dan melaung: Nek mintak jambu ya! Terus meluru ambil galah dan jolok saja. Orang ngaji aku berangan, dan kerana Kak Yang baik dan cantik, suara pun sedap jadi keluargaku ingat semuanya ok.

Kalau ngaji malam aku risau bila nak balik sebab lalu di celah rumpun pisang dan buluh yang gelap sebelum sampai ke rumah. Walaupun Kak Yang hantar di tangga rumahnya, aku dan adik macam nak pecut lari tapi takut pelita padam. Dalam khayal dan risau aku dengar dan hafal apa saja yang Kak Yang baca.

Lama baru dia mengadu kat nenek yang aku ni susah sikit nak dapat, boleh hafal ala kadar dan susah mengeja. Ngaji aku pelan malap dan terus terbantut kerana tak lama lepas tu guruku terkena penyakit misteri.

0 comments:

Post a Comment