Thursday, March 18, 2010

Untuk Melawan Syaitan

Satu usaha untuk menghancurkan tipu daya syaitan ialah: Pertama, dengan zikrullah (mengingat Allah). Ini kerana syaitan sentiasa berada dalam hati manusia. Ketika ia ingat Allah swt syaitan akan menjauhinya tetapi bila ia lalai syaitan akan mendekati sambil memperdayakannya.

Zikir bukan hanya dilakukan oleh lisan, tetapi bersama hati dan anggota badan dalam berbagai keadaan. Contohnya seperti yang dilakukan oleh ahlul albab (orang yang cerdik). Allah swt berfirman yang bermaksud, "(Itulah) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring." (Ali Imran: 191).

Kedua, menjaga kesucian hati dengan menjaga ibadah kerana ibadah akan mendekat-kan seseorang kepada ketakwaan. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu sekelian bertakwa." (Al Baqarah: 21).

Dengan bertakwa Allah akan menganugerahkan al furqan iaitu kemampuan untuk membezakan antara kebenaran dan kemungkaran. Allah swt berfiramn yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." ( Al Anfaal: 29).

Ketiga, terus mencari ilmu yang benar dan bermanfaat. Ilmu merupakan cahaya yang akan menyuluh jalan dan menerangi pemiliknya. Orang yang berilmu tidak mudah tertipu kerana ia jelas samaada sesuatu perkara itu dibolehkan syara' atau tidak.

0 comments:

Post a Comment