Tuesday, March 9, 2010

Orang Singapore Datang

Suka benar aku kalau saudara mara dari Singapore datang. Grand. Mereka akan bawa buah epal dan anggur; pakai baju lawa-lawa dan bersih. Banyak buah di kampong seperti rambutan, manggis dan rambai tapi tak lawan epal hijau dan anggur merah.

Mereka tinggal di Woodlands kot, itu yang aku dengar dari nenek dan datuk. Kadang-kadang mereka bawa kain ela untuk kami buat baju. Lain betul corak kain dari pekan PR dengan yang datang dari Singapore.

Kerja aku hanya tolong Mak Usu memasak atau goreng jejemput bila ibubapa dan nenek bersembang dengan mereka. Orang Singapore yang muda-muda 'speaking' bila sesama sendiri. Kami dapatlah dengar tempias, "I,I and you, you" dengan sikit perkataan yang difahami "about the car, money, food".

Tak pula masa tu ibu-bapa nak bagi kami kenal mesra dengan mereka. Bila mereka dah balik baru kami budak-budak dapat makan buah. Oleh kerana ramai, epal hanya dapat setengah biji dan anggur tiga biji seorang. Tapi rasanya.....Ya Tuhan, sedapnya.

0 comments:

Post a Comment