Friday, October 15, 2010

Syaitan Yang Menyesatkan

Syaitan adalah makhluk sombong yang berikrar untuk menyesatkan semua manusia. Ikrar ini diabadikan dalam Al Quran dalam firman Allah swt yang bermaksud, "Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (cuba menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan datang kepada mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Al A'raaf: 16-17).

Salah satu langkah syaitan untuk menjerumuskan manusia ke dalam perangkap kejahatan adalah dengan cara menipu mereka. Penipuan yang dilakukan oleh syaitan tanpa disedari manusia melalui dua cara; pertama, mencampur adukkan kebenaran dengan kemungkaran dan kedua, menghiasi keburukan dengan sesuatu yang indah. Apabila penilaian antara buruk dan baik dalam kehidupan hanya mengikut neraca manusia maka kerosakan besar dalam masyarakat pun berlaku.

Tipu daya syaitan sangat halus dan menurut Ibnu Qayyum ada yang secara menyihir akal hingga ianya tertipu. Akal akan melihat bahawa perbuatan tercela adalah sesuatu yang bermanfaat sehingga pelakunya merasa telah beruntung walaupun menganiaya orang lain. Sebaliknya perbuatan baik digambarkan merugikan apalagi yang melibatkan penggunaan harta dan tenaga untuk ke arah kebaikan dan jalan Allah swt.

Adapun puncak segala tipuan syaitan ialah menghias perbuatan syirik agar manusia menyekutukan Allah swt. Manusia tidak sedar bahawa dia telah bertuhankan harta benda, kuasa, wang dan manusia lain dengan menjadikan perkara-perkara tersebut tujuan utama dalam hidup. Sesungguhnya syaitan tidak akan berhenti mengajak manusia untuk melakukan segala perbuatan jahat yang dibenci oleh Allah swt hingga manusia layak menjadi teman syaitan ke neraka.

0 comments:

Post a Comment