Friday, October 1, 2010

Telinga Monyet, Tekukur dan Busut

Suasana pagi yang menyeronokkan ialah ketika kami ramai-ramai mengutip cendawan telinga monyet dan cendawan tekukur dalam kebun getah. Cendawan tumbuh di batang-batang getah lapuk yang telah ditebang.

Ramai yang pergi, tua muda kerana cendawan paling elok ialah lepas hujan (malam sebelumnya). Orang kampong tidak dapat menoreh jadi mereka pergilah ke kebun. Terbongkok-bongkok, terhendap-hendap kami di celah kayu dan rumput mencari cendawan yang paling elok dan besar.

Kemudian boleh berbangga siapa yang dapat paling banyak. Kalau dah masuk kebun getah macam-macam pula boleh jumpa: terong belanda, terong asam, cili padi, pucuk meranti, pucuk paku, bayam merah, nenas, pucuk manis, (ada kawasan cerah sebab pokok getah tumbang atau mati jadi pokok-pokok tu tumbuh sendiri). Habis semua kami sapu.

Cendawan yang tak habis dimakan, boleh dijemur dan disimpan untuk dijual. Cendawan busut pula kalau seseorang dah terjumpa mesti kutip hingga seguni. Selalunya kena share dengan orang-orang kampung.

Kata nenek moyang cendawan busut ada penunggunya, cendawan muncul hanya lepas hujan dengan guruh berdentam-dentum dan kilat sabung menyabung. Agak nak buat cerita bahawa cendawan ni istimewa, sedap dan peluang merasa mungkin setahun sekali.

0 comments:

Post a Comment