Wednesday, December 15, 2010

Urus Tulang Empat Kerat

Ada macam-macam cara orang berkerja; ada yang tergopoh gapah nak cepat siap, ada yang take it slowly sampai macam tak mahu buat langsung. Ada yang mesti siap peralatan sampai lengkap baru bekerja dan ada pula dengan sedikit alat sudah memadai. Untung benar orang yang kreatif dan berinovasi; tidak ada rotan, akar pun berguna yang penting kerja selesai dan tanggungjawab sudah terlaksana.

Di rumah aku Haf yang selalu buat kerja nak sekali gus, kalau angkat barang kaut seberapa banyak, potong rumput seluruh halaman siap dalam 30 minit. Fad pula buat kerja dengan santainya sampai tak siap-siap hingga yang menyuruh pun naik lemas. Sudahnya dua-dua berpura-pura keletihan dan mengelak bila kena buat kerja yang lain. Inilah kononnya yang dinamakan work smart; mengelat kerja dan harap orang lain yang buat.

Aku pesan-pesan dalam kerja mesti ada sikit perancangan, biar tak jemu atau rasa membebankan. Lihat saja orang tua-tua dulu yang pandai susun kerja dan urus masa. Bila balik ke kampung aku tengok Mak sentiasa ada saja kerja yang dibuatnya. Masa relaksnya ialah menjahit, baca Al Quran, lipat kain dan tidur sekejap selepas masak makanan tengahari sambil tunggu waktu zohor. Aku selalu tanya, tak penat ke Mak?

Rasa bersalah pula bila aku yang banyak duduk sembang dengan adik beradik atau tengok tv hingga ke malam. Betul pun, salah satu punca tak dapat habiskan kerja ialah rumah ialah tengok tv, terlebi-lebih duduk depan komputer atau bercakap-cakap. Kalau dengar radio ada juga maafnya sebab boleh lagi bekerja dan sesetengah orang sambil membaca. Tapi apa pun pandai-pandailah urus tulang empat kerat untuk dapatkan kesan maksima kerana hidup bukan lama.

0 comments:

Post a Comment