Monday, April 26, 2010

Dunia Yang Sementara

Bagi orang-orang yang beriman Allah swt telah menjelaskan tentang perbezaan antara kehidupan di dunia dan akhirat melalui Al Quran dan petunjuk RasulNya. Al Quran sering menekankan tentang keimanan pada hari akhirat dan pembalasan yang akan dilakukan dalam kehidupan tersebut.

Sebelum sampai saat itu Allah swt memberikan petunjuk bagaimana manusia sepatutnya menjalani kehidupan di dunia ini. Adapun perkataan dunia bererti 'dekat' ataupun maksudnya sekarang berbanding dengan akhirat yang hanya akan ditempuh setelah berlakunya kiamat.

Dunia juga bermaksud 'lebih rendah' kerana sifatnya yang sementara dan akan binasa. Akhirat adalah lebih tinggi kerana ia kekal dan tempat segala hukuman jalankan dan ganjaran diberikan.

Satu lagi sifat dunia yang ketara ialah 'az zinah' iaitu perhiasan. Semua yang ada di dunia ini pada hakikatnya sebagai perhiasan belaka dan bukannya penentu mutlak kebahagiaan. Satu perhiasan mempunyai nilai yang tidak terbatas dalam baik buruk-nya kerana ia bergantung pada pemakai, pemilik dan pencintanya.

Allah sw berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya." (Al Kahfi: 7)

0 comments:

Post a Comment