Monday, June 14, 2010

Tiru Spiderman dan Batman

Nenek hanya dua beradik iaitu dia yang sulung dan adik perempuannya. Kalau tak sekolah aku suka ke rumah nenek saudara untuk bermain. Anaknya ada yang sebaya denganku dan tiga orang lagi lebih tua dariku. Yang sulung jarang bermain kerana dia sudah bersekolah menengah.

Rumah Nek Ijah sederhana besar tetapi lantainya serta dindingnya dibuat dari papan yang kukuh. Tempat yang kami suka bermain ialah di beranda. Salah satu sisi beranda ini ada dinding dengan kayu beruti dipasang melintang pada ketinggian berbeza untuk kukuhkan dinding. Dua sisi beranda pula berpagar separas pinggang dan ada palang kayu panjang di atasnya.

Bila main cina buta, orang yang ditutup matanya akan teraba-raba mencari mangsa tetapi dengan perlahan dan berhati-hati kami akan melekat di dinding seperti spiderman atau bergantung di atas gelegar macam batman. Susah juga nak menangkap mangsa yang boleh mengelak dan memanjat dengan cekap dan senyap.


Nek Ijah tak pula marah pada kami yang berlari dan membuat bising di berandanya. Bila dirasanya kami sudah cukup bermain dia akan panggil kami membantunnya memasak. Makanan cukup dengan nasi, ikan goreng dan sayur tumis. Kalau jemu main di beranda kami ke belakang rumah untuk mengait jambu air dan mempelam.

Aku tak berapa suka dengan suami Nek Ijah yang berwajah garang. Apapun aku mesti tanya dulu pada anak-anaknya kalau bapa mereka ada di rumah dan seronok kalau Tok saudara ke rumah isteri mudanya.

0 comments:

Post a Comment