Thursday, January 6, 2011

Iman Dan Keteguhan Jiwa

Orang-orang yang beriman dan mengenal Allah swt akan menjalani kehidupan yang tenang kerana telah melakukan segala perbuatan yang diredhai Allah swt dan disukai manusia. Semua perbuatan dalam ibadah khusus atau ketika ia menguruskan diri, keluarga, harta, pekerjaan, masyarakat sentiasa terpelihara. Allah swt sentiasa melindungi mereka dari perkara-perkara yang boleh menjerumuskan mereka kepada kerosakan dan kehinaan kerana berada di jalan Allah dan RasulNya.

Allah swt memuji mereka dalam firmanNya yang bermaksud, "Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Az Zumar: 18)


Kehidupan yang baik atau hayatan thayyibah adalah keteguhan jiwa untuk memegang janji Tuhan mereka dan ketuguhan hati untuk mencintai Zat yang mencipta diri mereka dan seluruh alam ini. Caranya ialah dengan menjaga kesucian jiwa dari unsur-unsur yang merosakkan akidah baik dalam perbuatan, perkataan dan keyakinan dalam hati. Ternyata untuk sampai ketahap ini seseorang terpaksa bersikap teguh dalam menghadapi kenyataan walaupun pahit dan perlu membuat pengorbanan yang besar.

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan ujian teruama bagi mereka yang beriman. Oleh itu hati mesti bersedia untuk menerima segala ketentuan dan redha ketika datang qada' dan qadar. Itulah yang terbaik bagi mereka yang mengakui bahawa Allah swt sebagai Rabb, Islam sebagai deen dan Muhammad saw sebagai rasul. Allah swt akan memberikan ganjaran yang besar kepada para hambaNya yang beriman dan istiqamah dalam menunaikan perintahNya.

0 comments:

Post a Comment