Friday, July 23, 2010

Untung Ada Pokok Pisang

Bila ada tanah sekangkang kera di sekeliling rumah memang besar hajat nak tanam segala macam pokok. Pelbagai pokok dicuba; mangga, rambutan, belimbing, jambu batu, jambu air, nona dan termasuklah kelapa. Pokok durian saja yang tak sempat kerana percubaan seorang kawan menanam pokok tersebut di tanah seluas 20 kaki di tepi rumah teresnya ternyata tidak berhasil. Pokok terpaksa ditebang sebelum berbuah.

Akhirnya aku kekalkan 3 pokok rambutan dan tanam pokok pisang emas sebab daun warna hijau muda dan batangnya sedikit kunnig sangat menarik. Lagipun aku dengar dari kawan bahawa buah pertama yang dijamah penghuni syurga ialah pisang. Pokok pisang emas nampak smart dan tinggi lampai, tak debab macam pokok pisang nipah aka kapok atau pokok pisang lemak manis yang kemetot.

Empat belas bulan selepas ditanam baru pokok pisangku mengeluarkan hasil iaitu sepuluh sisir pisang emas dari dua tandan. Makan memang tak habis, jadi aku gantung semuanya di tepi dapur. Sesiapa yang ke sini mesti makan kerana pisang ditanam sendiri sedap, percuma dan seratus peratus organik.

Dalam pada tu aku sempat buat cucur untuk dibawa ke ofis dan sedekah untuk program kanak-kanak. Semua dapat merasa. Sementara tunggu pisang berbuah dapat juga ambil daunnya untuk bungkus lepat dan pais ikan. Syukur, berbudi pada tanah memang tidak rugi. Oleh kerana dulu pokok pisang emasku ada yang patah tengkok jadi untuk pokok yang berbuah kali ni aku cepat-cepat ambil dahan rambuatan untuk menongkatnya.

1 comments:

klANA said...

~buah pertama yang dijamah penghuni syurga ialah pisang~ baru KF tahu ttg hal ni. Thanks SF kongsi info menarik ni :)

Post a Comment