Sunday, August 1, 2010

Makanan Rasulullah saw

Hidangan serba sederhana di rumah Rasulullah saw lenyap pada pagi dan petang walhal baginda boleh mendapatkan pelbagai makanan lazat. Bukankah baginda pemimpin sebuah negara dan umat, mendapat harta ghanimah berupa ternakan, emas dan perak? Dengan kuasa dan harta yang banyak itu baginda boleh mengumpul bekalan bagi keluarga dan dijamu dengan makanan mewah seperti raja.

Namun sebaliknya baginda hanya mempunyai makanan yang sedikit dan seadanya. Dari Masruq dia menceritakan: Aku pernah menemui Aisyah rha kemudian dia menawarkan makanan kepadaku sambil berkata: Aku tidak boleh makan kenyang, aku ingin menangis dan akhirnya aku pun menangis.

Dia (Masruq) bertanya: Kenapa begitu? Aisyah rha menjawab: Aku teringat sewaktu Rasulullah saw wafat. Demi Allah, baginda tidak pernah makan roti bersama daging sehingga kenyang dua kali dalam sehari. (HR At Termizi). Keadaan lapar ini dialami oleh baginda dan juga seluruh ahli keluarga baginda.

Kadangkala baginda tidak mempunyai makanan langsung dan terpaksa tidur dengan perut kosong. Ibnu Abbas ra berkata: Rasulullah saw pernah tidur beberapa malam dalam keadaan lapar manakala keluarga baginda tidak ada makanan untuk makan malam. Dan kebanyakan roti mereka adalah roti dibuat dari gandum.(HR At Termizi, Ibnu Majah).

0 comments:

Post a Comment