Saturday, August 7, 2010

Manis Tapi Susah

Ketika orang sekarang berebut menempah kuih sebelum bulan puasa orang dulu sibuk buat persediaan hendak membuat kuih. Membeli kacang dan pulut, menumbuk dan mengayaknya menjadi tepung. Mencari dan membasuh acuan kueh bahulu, putu dan lesung. Namun salah satu benda yang seingat aku cerewet nak membuatnya ialah halwa betik dan terong.

Di bulan Syaaban nenek dah kena cari betik yang perfect. Tak terlalu muda hingga isinya putih dan tak berwarna, tak terlalu tua hingga halwa jadi benyai. Yang terbaik ialah yang berwarna kekuningan atau kemerahan bila dikupas dan dihiris tipis memanjang. Hirisan ini direndam dalam air garam hingga lembut dan toreh beberapa garisan secara memanjang tapi tak terputus. Kemudian baru dianyam dan direndam pula dalam air kapur untuk menjadikannya keras dan rangup.

Bila sudah dibasuh beberapa kali dengan air bersih dan ditoskan betik beranyam ni di masukkan ke dalam campuran air gula pasir dan gula batu yang telah sejuk. Setiap hari betik dikeluarkan dan air gulanya dimasak semula. Setelah sejuk baru masukkan betik hingga semakin hari air gula bertambah likat dan wangi. Air gula pun biar sejuk betul kalau tidak halwa jadi masam dan berbuih dan balang kena jaga elok agar tak dihurung semut.

Selain betik nenek juga buat halwa terong asam atau terong bulu yang besaiz bola pingpong. Kerjanya rumit kerana aku yang kena basuh terong ni hingga licin dan buang bijinya dengan membelah terong dari hujung lalu memicitnya hingga kosong. Terong ni juga direndam dengan air garam untuk hilangkan pedar dan air kapur agar ia rangup. Proses keluar masuk dari air gula sama seperti di atas dan kedua halwa ini tidak dicampur.

Aku yang protes buat halwa ni kena banyak betul susah payah tapi bila dihidangkan ia jadi juadah yang paling cantik. Selain halwanya sedap air gula ni boleh buat cicah dengan roti bengali, roti jala, ubi rebus atau lempeng kelapa.

0 comments:

Post a Comment