Thursday, September 2, 2010

Ketupat Daun Kelapa

Tengahari itu ketika menunggu nasi impit dalam plastik sedang direbus, hati berdetik dan berbisik: Kerja ni senang tapi tak bestlah. Entah kenapa teringat pula nak buat ketupat daun kelapa, lalu pakat dengan Izz dan Haq praktis dengan reben dua warna. Mula-mula buat ketupat 'basic' seperti ketupat satay dan bawang dan kemudian yang 'advance' iaitu ketupat pasar dan ketupat jantung. Berbelit juga reben kerana dah lama tak menganyam tapi akhirnya semua orang semakin cekap.

Bila ke pasar baru tahu rupanya daun kelapa sudah jadi komoditi berharga. Harganya RM 5.00 untuk 25 keping, terasa mahalnya dan menyesal tak tanam kelapa kat penjuru halaman. Ketika K bawa sedikit daun balik kami berebut dan berlumba menganyam, masing-masing tunjuk bakat.


Yang bagusnya ketupat nasi ni boleh dimakan dengan bermacam lauk pauk, samaada kering atau berkuah, daging atau sayur. Lawannya yang sesuai termasuk rendang, kari, korma, masak kicap, masak merah, kuzi, opor, percik, satay, barbeku, dendeng dan serunding. Ada yang lebih suka kuah lodeh, kuah kacang dan sambal goreng.

Di kampungku di pagi raya kaum keluarga dan jiran tetangga bertukar lauk sampai berbelas macam jenis hingga rambang mata memilih. Abah anak sulung, jadi rumah kami macam 'distribution centre'. Yang paling bagus jiran sebelah rumah suka berburu jadi lauknya yang paling top dan eksotik kerana kekadang dia hantar rendang rusa, kijang, ayam hutan atau napoh.


Walaupun kena basuh dan toskan beras, rapikan kelongsong ketupat, mengisinya dan kemudian merebusnya selama 4 jam tapi aku cukup puas hati. Wangi daun kelapa yang direbus menusuk hidung dan yang pasti ada ketupat tergantung dari palang di tepi dapur. Macam ni barulah namanya raya.

1 comments:

Mat Ganu said...

same with me..tiap2 tahun tak pernah miss buat ketupat guna daun kelapa....hehehe

Post a Comment