Saturday, October 9, 2010

Rumah Lama Nenek

Seingat aku rumah nenek sederhana besarnya, bahagian hadapan yang dipanggil anjung berbentuk T besar terbalik, tengah rumah dan dapur. Anjung tempat menerima tetamu dan tengah rumah tempat kami gantung kelambu bila malam. Tengah rumah sama luas dengan bahagian hadapan, ada dinding pemisah serta pintu di antara keduanya. Di sini ada sebuah bilik namun di luar bilik lebih empat buah kelambu boleh digantung serentak. Ruang yang kosong menghala ke dapur dinamakan ambin dan dari ambin ada tangga untuk turun ke bahagian dapur kerana dapur berlantai simen.

Rumah ini beratap zink tapi sudah banyak yang berlubang. Di waktu siang cahaya matahari menembusi lubang dan membentuk bulatan cahaya di atas lantai, Aku pelik kenapa cahaya ini berlainan tempat ketika pagi dan petang. Tetapi masaalah tiba bila hujan iaitu air menitik dari bumbung dan kami terpaksa tadah dengan baldi, besen, mangkuk dan periuk. Kalau hujan malan malam lagi susah kerana ada lubang setentang dengan tengah kelambu jadi kami kena runtuhkan kelambu. Kata nenek zink berlubang kerana bekas paku, telah lama dan berkarat.

Simen dapur pun telah retak hingga kami terpaksa berjalan berhati-hati. Sebelum dibuat dapur tempat ini bekas perigi buta yang tidak digunakan lagi. Jadi orang kampung yang membantu membina rumah telah memasukkan banyak kayu getah dan tanah untuk meratakan tanah. Lama kelamaan kayu tersebut reput dan tanah mendap lalu simen di atasnya retak.

Halaman rumah ini luas dan kami ada dua perigi iaitu di kanan rumah dan di belakang rumah untuk membasuh dan mencuci. Air minuman dari air hujan yang ditadah dalam tempayan besar yang terletak di bawah cucur atap. Sebenarnya aku suka rumah nenek dengan tingkap panjang hingga ke lantai dan alang kayu berukir separas pinggang. Dari sini selepas hujan selalunya aku dan moyang berdiri sambil memerhati air bergenang di halaman dan berharap ada buah kuini gugur dari pokoknya berhampiran dengan tempat membuat getah keping.

2 comments:

lan_ax said...

nice story..
http://duitlama2u.blogspot.com/

LadyBird said...

rs teringin je nak melalui suasana yg awk ceritekan tu.. mcm best.. pasti seronok kan.. awk org mana?

Post a Comment