Tuesday, December 7, 2010

Bukan Penghuni Bumi

Orang pada zaman ini mengangkat berat atau body building kerana hendak kelihatan macho dengan otot berketul-ketul, menang pingat di peringkat antarabangsa atau ingin sihat. Namun seorang pemuda bernama Uwais Al Qarni yang hidup di zaman Rasulullah saw melakukannya semata-mata kerana ingin menunaikan hajat ibunya yang ingin pergi haji ke Mekah. Pemuda yang soleh dan ahli ibadat ini tinggal di Yaman namun berjanji untuk membawa ibunya ke Mekah walaupun perjalanan itu sangat jauh dan banyak rintangannya. Dan mereka miskin, jadi bagaimana?

Uwais membeli seekor anak lembu dan ditinggalkannya di atas bukit. Setiap hari dia mengangkat anak lembu itu dengan kedua tangannya turun naik bukit untuk memberinya makan. Semakin lama anak lembu semakin besar dan berat, begitu juga dengan fizikal Uweis yang jadi semakin kuat. Masa terus berlalu dan pada musim haji berikutnya dia telah mengendong ibunya bersama bekalan dan bertolak dari Yaman ke Mekah. Dialah yang membantu ibunya menjalankan ibadah haji sehingga selesai dan balik semula ke kampung lalu ibunya meninggal dunia tidak lama kemudian.


Ketika ibunya bertanya apakah Uwais berdoa agar penyakit sopak di badannya sembuh dia menjawab tidak ada. Setelah disuruh beberapa kali barulah dia akur dengan perintah ibunya. Lalu Uweis berdoa agar disembuhkan oleh Allah swt; bukan kesembuhan total tapi ditinggalkan sedikit bekas penyakit itu agar dia ingat akan kebesaranNya.

Walapupun Rasulullah saw tidak pernah bertemu Uwais tetapi baginda tahu tentang kesolehan dan keikhlasannya dan telah menyuruh dua orang sahabat baginda untuk bertemu dengannya. Setelah Rasulullah saw wafat mereka teringat pesanan tersebut. Penat mereka menunggu Uwais dan rombongannya di Madinah tetapi tidak siapa yang tahu. Akhirnya mereka ditunjukkan kepada seorang penjaga unta yang berdebu pakaiannya datang bersama kafilah dari Yaman. Rasulullah saw berpesan kepada Sayyidina Umar ra dan Sayyidina Ali ra: Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi.

0 comments:

Post a Comment