Friday, March 11, 2011

Mana Lembunya?

Padang rumput
Pokok-pokok di tepinya
Dari tepi jalan
Kawasan luas
Hijau dan cantik

Semua gambar diambil di Bandar Penawar pada bulan Disember 2010. Salah satu spot yang aku suka tengok di sini ialah sebidang tanah di belakang masjid. Luas juga kawasannya dan dua sisi tanah ini dipisahkan dengan taman perumahan oleh jalan raya dan longkang besar. Yang ada hanya pokok-pokok hutan dan padang rumput yang subur menghijau. Tempatnya lebih rendah dari jalanraya, tidak ada jogging track atau wakaf untuk bersantai yang kelihatan. Teringat aku pada padang rumput yang hijau beralun di Mesilau dekat Kundasang. Lembu susu jenis Holstein Friesian yang berwarna putih hitam meragut walaupun ketika tengahari.......ala-ala lembu Fernleaf di New Zealand.

Nak bela lembu susu pulak? Bukan calang-calang orang yang boleh kerana kerjanya renyah dan berat. Kena bangun pukul 4 pagi setiap hari, 365 hari setahun untuk kumpulkan lembu, memerah susu, bagi makan dan dan kemas peralatan. Kemudian pukul 5 petang kena ulang rutin yang sama. Tapi orang kata hasilnya lumayan; boleh dapat duit pagi petang hasil jualan susu. Lembu pula aset yang mahal kerana seekor harganya dekat 10 ribu ringgit. Setahun sekali dapat anak lembu, maknanya dapat duit lagi. Tahi lembu boleh dibuat baja kompos. Di tepi kandang boleh tanam sayur dan pokok buahan selain rumput untuk buat silaj dan jerami. Badan tuan punya lembu pun sihat kerana kurang tidur, minum susu berkhasiat dan duit sentiasa mengalir masuk.

Mudahnya menternak dalam khayalan......macam Mat Jenin yang berangan membina istana sedang dia memanjat pokok kelapa. Tapi kalau tak sanggup menternak lembu, menternaklah kambing pun jadilah. Kalau tak sanggup juga ternak ayam kampung saja. Makan dari sisa dapur dan malam ia tidur di atas pokok. Kos nil. Cuma masa nak menjual terpaksa kerja keras sikit iaitu ayam di sekap semasa ia tidur di waktu malam. Hati berdetik dan berbisik.........kalau macam ni cara menternak dapatlah menjual ayam setahun dua kali.

0 comments:

Post a Comment