Saturday, April 14, 2012

Rezeki Lepas Sedekah

Pokok rambutan
dekat pondok orkid

Di belakang dapur
Sudah masak
Kait dan kumpul
Pilih dan ikat
Nak rambutan gading?
2 kg RM 3.00

Dulu pokok rambutan ini ditanam untuk tujuan panjat memanjat sebab bila duduk di pinggir bandar ramai kanak-kanak yang tak reti jadi Tarzan. Ada tiga setengah pokok semuanya, satu rambutan gading, satu rambutan merah dan satu lagi kombinasi dua jenis rambutan merah. Semuanya ditanam oleh arwah Abah. Yang pokok satu setengah tu ada ceritanya sendiri. Arwah Abah pada mulanya menanam pokok rambutan jenis gula batu tapi pokok tak berapa subur. Kemudian dia beli sepokok rambutan nama anak sekolah dan menanamnya rapat dengan pokok pertama. Dia mengikat kedua pokok dengan seutas dawai. Kebetulan kedua-dua pokok tersebut hidup dan membesar. Dua pokok yang menjadi satu ini mempunyai dua jenis buah yang sedikit berbeza dalam bentuk, warna dan rasa.

Bila musim rambutan di bulan Ramadhan kanak-kanak singgah memetik selepas tarawih. Cukup bising macam sekumpulan keluang makan buah, ada yang memanjat, ada yang bergayut dan ada yang menarik dahan. Sudah jadi kebiasaan setiap musim rambutan pokok kami berbuah lebat. Cukup baja dan tetap disiram jika lama tidak hujan. Kami akan mengait rambutan hingga dapat lima atau enam bakul besar. Mengisi buah ke dalam beg plastik dan mengagihkan pada penduduk kampung, sedekah ke surau dan juga kawan-kawan di ofis. Siapapun yang tertinjau-tinjau memandang buah yang merah di pokok pasti dipelawa makan kerana buahnya memang longkah dan manis.

Selepas dua tahun pokok merajuk tak berbuah (lupa membaja kerana awah Abah yang selalu mengingatkan sudah tiada) tapi tahun ni buahnya lebat pulak. Sedekah sudah dan hadiah pun sudah jadi buat pertama kali kami kait dan ikat. Buat 10-12 ikat sehari dan tinggalkan di kedai makan seorang kawan. Laris dan bila dicongak setelah beberapa hari hasilnya hampir RM 200. Lepas harga beli tali, beg plastik dan membayar RM 50 untuk pangkas dahan rambutan yang terkena wayar telefon dan letrik. Hati berdetik dan berbisik...........inilah buah tangan seorang ayah yang kini tetap jadi kenangan dan membawa pahala yang berpanjangan. Amin

0 comments:

Post a Comment