Monday, March 23, 2015

Susahnya Jadi Ibu


Bunga melur
 Bunga susun  kelapa
 Bunga ros
 Bunga raya

Bunga putih

Selepas solat Isya' biasanya nenek akan mengasah pisau yang akan digunakan untuk menoreh getah pada waktu subuh esok. Dia akan duduk mengadap sebuah pelita minyak kecil, semangkuk air untuk membasahkan pisau dan sebungkah batu asah. Kata nenek dia sedang mengasah pensil, secara bersenda menggelar dirinya cikgu kepada murid yang bernama pokok getah. Aku setia menunggu nenek membuat kerjanya. Di malam seperti ini nenek suka membuka cerita tentang kisah silamnya.


Suami nenek, iaitu bapa emakku meniggal dunia sewaktu anaknya yang sulung berumur empat belas tahun dan anak bungsu baru berumur 5 bulan. Dia meninggalkan lima orang anak iaitu emakku dan kembar lelakinya (yang sulung), dua orang anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan.

Kata nenek datuk bekerja sebagai pemandu kapal korek dan ada sebuah motorsikal. Hidup nenek susah selepas ditinggalkan datuk kerana terpaksa menyara lima orang anak yang masih kecil. Anak yang berumur lima bulan terpaksa dibawa ke kebun getah, sama ada diikat dengan kain batik di belakang badan atau dimasukkan ke dalam buaian kain yang digantung di antara pokok getah.

Walau pun sudah berkahwin nenek tetap tinggal dengan moyang dan juga setelah dia kehilangan suaminya. Nenek dan moyang tinggal di tanah seluas 3 ekar yang ditinggalkan oleh datuk dan menoreh getah di kebun tersebut. Namun begitu semua adik beradik emak dapat belajar ke sekolah walaupun hingga ke darjah enam sahaja.

Ketika aku baru masuk darjah tiga kami terpaksa pindah ke kampung lain kerana adik-adik arwah datuk ingin menjual tanah yang kami duduki itu. Aku melihat moyang, nenek dan mak menangis bila rumah yang telah dihuni sekian lama terpaksa dirobohkan.

0 comments:

Post a Comment