Friday, January 28, 2011

Jarum Dan Benang

Sumber inspirasi
Sulam di telekung
Kuntum-kuntum ros
Ros merah, pink
Ros oren

Gambar telekung sulaman sendiri. Tiba-tiba teringat nak menyulam bila tengok tudung bersulam ros yang dibeli Izz berharga RM 37 sehelai. Betul nak menyulam? Ceritanya nenek moyang dulu tak gemar betul kalau tidur siang di bulan puasa; kata mereka buatlah kerja bermanfaat. Aku yang masih di sekolah rendah terpaksa ikut mak cik yang disuruh menjahit alas meja, kain seprah serta sarung bantal kerana dia sudah jadi gadis sunti. Mulanya aku belajar jahitan jelujur dan kia hingga yang lebih susah seperti insang pari. Bila dah pandai baru diajar menyulam, yang paling aku ingat ialah membuat bunga ros dengan benang dililit pada jarum.

Baru-baru ni ketika pergi ke kedai Cik Mi ternampak pula telekung kosong tanpa sulam. Pada amnya telekung kita di sini sarat dengan bunga berwarna cerah serta kerawang. Aku pun terus membeli sehelai dan cari kertas karbon untuk trace pattern serta beli peralatan yang sesuai. Bila sudah mula memegang jarum rasa seronok hingga habis sekeliling telekung aku sulam. Ambil masa enam tujuh hari juga baru siap, hampir lupa berblogging, tengok orkid dan menonton tv. Memasak pun secara ekspress.


Oh.....sekarang ni terasa menganggur pulak. Mungkin akan cuba menyulam pada tudung kerana pattern yang hendak diulang tidak sampai 44 kali. Senang sedikit dan cepat nampak hasilnya. Orang kata kalau rajin dan ada rezeki boleh buat duit atau sekurang-kurangnya untuk pakai sendiri. Hati berdetik dan berbisik.....betullah apa yang nenek moyang suruh dulu......belajarlah menjahit, kau tak akan rugi.

Bersegera Dalam Kebaikan

Manusia yang menerima petunjuk Allah swt terbahagi kepada tiga golongan iaitu zalimun linafsih (menzalimi diri sendiri), muqtasid (pertengahan) dan saabiq bil khairat. Golongan saabiq bil khairat terdiri dari orang-orang yang bersegera dalam kebaikan dengan menunaikan seluruh yang wajib dan sunat, meninggalkan yang haram dan makruh termasuk sebahagian yang harus. Mereka sentiasa mendekatkan diri kepada Allah swt dengan besungguh-sungguh dan istiqamah pada jalanNya.

Jika ada melakukan dosa mereka cepat menghapuskannya dengan bertaubat dan melakukan amalan soleh. Setiap perkara yang dilakukan dalam hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata.
Abu Darda ra mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa golongan saabiq bil khairat ini adalah mereka yang akan masuk jannah tanpa hisab. Mereka merupakan golongan paling beruntung di akhirat kelak.

Adapun golongan muqtasid akan dihisab tetapi dengan hisab yang ringan manakala golongan zalimun linafsih mendapat banyak halangan di sepanjang mahsyar kerana mesti melalui proses hisab yang lama dan berat. Sungguh beruntung sekiranya mereka mendapat keampunan dan rahmat dari Allah swt hingga selamat meniti sirath. Kedua-dua golongan ini dinyatakan akan masuk syurga kerana umat Muhammad saw yang bertauhid akan masuk syurga juga akhirnya.

Thursday, January 27, 2011

Dandelion

Garbera atau African Daisy
Oren
Kuning
Pink pucat
Pink

The Dandelion

The dandelions disks of gold
Like mimic suns the greensward dot
In woods beyond the meadow-lot
The violet's shy blue eyes unfold.


Bid blithe farewell to winter's cold

And troop to field from hall or cot

The dandelions disks of gold

Like mimic suns the greensward dot.

I'm jealous, sweet, lest you should hold
The primrose dearer! - Ah be not
In English primrose time forgot
Our own gold-daisy, brave and bold

The dandelion - whose disks of gold
Like mimic the suns the greensward dot!

(A W Brotherton)

Gambar diambil di nursery bunga. Mungkin ramai yang tahu yang bunga dandelion berwarna kuning, tumbuh liar di halaman atau di padang (bukan di sini) dan buahnya berterbangan ditiup angin. Sekarang dandelion sudah ditanam secara komersil di Amerika dan Eropah kerana tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Akar dan daunnya boleh mengubati penyakit hati, buah pinggang, pundi hempedu dan sendi. Ada orang yang menjadikan daunnya sebagai salad dan pengganti minuman teh. Daun yang dihancurkan jika disapu pada luka boleh membunuh bakteria dan mengelakkan jangkitan.

Jenuh juga aku mencabut pokok dandelion bila hendak membuat batas menanam tulip, kubis dan dahlia. Ia cepat tumbuh; di celah batu pavement, bawah pokok apple dan pagar. A
karnya yang agak panjang mencengkam tanah dengan kuat. Mungkin itu sebabnya pokok ni susah nak mati atau pupus diracun oleh manusia. Ketika itu aku tak tahu yang daun dandelion boleh dimakan. Agaknya lebih sedap dari daun salad iceberg atau lettuce kalau dengan sambal belacan.

Dandelion dan African daisy adalah tumbuhan dalam famili yang sama. Walaupun aku ni suka pada Africa daisy tapi aku tak menanam sepokok pun. Pertama ia pokok yang perlu tempat redup dan tanahnya sentiasa lembab serta gembur. Maksudnya selalu disiram tapi tak lencun, dikais-kais tanahnya. Barulah subur dan banyak bunga. Hati berdetik dan berbisik......begitulah kalau nak yang cantik, terpaksalah dimanja-manjakan dan rajin-rajin membelai.

Berkat Pada Makanan

1. Ibnu Abbas ra berkata bahawa bersabda Nabi saw: Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari tepi-tepinya dan jangan makan dari tengahnya. (HR Abu Dawud, At Termizi)

2. Wahsyi bin Hareb ra berkata bahawa sahabat Nabi saw mengadu: Ya Rasulullah, kami makan dan tidak merasa kenyang. Jawab Nabi saw: Mungkin kamu makan sediri-sendiri. Jawab mereka: Benar. Bersabda Nabi saw: Berkumpullah pada makananmu dan bacalah bismillah, nescaya diberikan berkat pada makanan itu. (HR Abu Dawud).

3. Umar bin Abi Salamah ra berkata: Ketika aku masih kecil dibawah jagaan Nabi saw selalu aku menghulurkan tangan kanan ke dalam bekas makanan, maka Nabi bersabda: Hai anak, bacalah bismillah, dan makanlah dengan tangan kanan dan makanlah dari yang hampir kepadamu. (HR Bukhari, Muslim)

Tuesday, January 25, 2011

Ctna Sogo Doll

Cattleytonia Sogo Doll
Lima kuntum
Maroon dan pink
Ada kuning pada 'lip'
Bunga, close-up

Gambar bunga diambil di pondok orkidku. Wah.....kecik hati juga bila dengar Cik Minah tak percaya gambar cattleya besar yang aku upload dulu aku sendiri yang tanam. Sumpah.... itu dari pondok orkidku di belakang rumah. Dia pasti bahawa aku cilok gambar from somewhere. Entah kenapa tiba-tiba Cik Minah dijangkiti penyakit orkid kerana dulu dia asyik dengan gelang kristal dan akek. Macam-macam warna dan bentuk hingga aku pun tumpang sekaki membeli. Pantang dengar mak nak ke Sabah, aku pesan gelang lebih banyak dari pesan ikan kurau dan udang kering.

Cattleytonia atau nama singkatannya Ctna adalah hibrid antara orkid Cattleya dan Broughtonia. Broughtonia ialah satu genus dalam famili orkid yang berasal dari Greater Antilles (Cuba, Jamaica, dll) di Laut Caribbean yang terkenal dengan lanun-lanunnya. Orkid Broughtonia tumbuh secara sympodial dan bunganya seakan-akan Cattleya tetapi saiznya lebih kecil, kelopak nipis dan bahagian tepi lips sedikit kerinting.

Penjagaan Cattleytonia tidak rumit kerana ia mewarisi sifat orkid Cattleya yang cepat membiak jika medium sesuai dan banyak ruang untuk akar berkembang. Kekadang bila berbunga hingga ada lima kuntum dalam satu tangkai dan ia tahan selama 2 minggu. Hati berdetik dan berbisik.....kalau aku ada orkid baru jenis ni mahu saja namakannya Ctna Cik Minah Sayang. Baru dia tersenyum.

Me and You

1. Everything that irritates us about others can lead us to an understanding of ourselves.

2. A fanatic is someone who can't change his/her mind and won't change the subject.

3. You are young at any age if you are planning for tomorrow.

4. When a thing is not worth overdoing, leave it alone.

5. To beat the daily grind, you may have to change your HABIT. But you'll reap significant reward, less stress, better health and greater sense of accomplishment.

Monday, January 24, 2011

Pokok Gelenggang

Pokok gelenggang
Daunnya dibuat ubat
Bunga berwarna kuning
Bunga, close-up
Buah seperti kacang

Gambar diambil di Kampung Kem Balak. Pokok Gelenggang atau nama saintifiknya Cassia alatta ialah salah satu tumbuhan yang memberi keceriaan pada belukar kerana bunganya yang kuning terang. Pokoknya banyak cabang dan tinggi mengatasi tumbuhan lain dan menjadi tempat pokok lain memanjat. Ia mudah tumbuh di tanah yang subur dan basah. Ada dua gelenggang iaitu berdaun kecil dan berdaun besar tapi keduanya boleh dijadikan ubat. Buahnya berbentuk kacang dan di dalamnya mengandungi 50-70 biji kecil .

Bahagian yang paling berguna ialah daunnya. Daun gelenggang boleh mengubati penyakit kulit seperti panau, kurap, ekzema dan kudis. Caranya ialah menumbuk segenggam daun gelenggang bersama kapur sirih dan digosokkan pada kulit yang bermasaalah. Campuran ini akan agak panas bila terkena kulit tetapi didapati sangat mujarab. Selain itu air rebusan daun gelanggang boleh diminum untuk mengubati sembelit.

Daun gelenggang boleh juga digunakan untuk merawat kecacingan dalam perut. Untuk tujuan ini daun gelenggang dikunyah bersama sedikit garam selama beberapa minit kemudian airnya ditelan manakala hampasnya dibuang.

Niat, Prasangka dan Akal

1. Seorang Muslim memeliki kewajipan untuk berniat dan berprasangka baik terhadap saudaranya. Akan tetapi pengalaman telah mengajar kita agar tidak mempercayai janji-janji begitu sahaja, mengiyakan perkataan dan berlebihan dalam berharap. Marilah kita berharap baik seraya menunggu, dan kita tidak akan lama menunggu. (Hasan Al Bana)

2. Akal itua ada dua; akal yang hanya Allah swt sahaja yang menciptanya dan inilah yang murni dan yang asal. Kedua, akal yang manusia dapat mengambil faedah daripadanya dan mengamal-kannya, ini merupakan cabang.

Apabila keduanya berkumpul (akal asli dan cabang) dan saling menguatkan pemilik akal tersebut, maka lebih kuat cahaya yang menerangi kegelapan. Orang yang berakal mencari hikmahnya, sementara orang yang bodoh hanya sekadar ingin mendapatkannya. Tidaklah dikatakan orang berakal, kecuali bila ia berakal untuk dirinya. (Al Atbi)

Friday, January 21, 2011

Pokok Pinang Hiasan

Putik buah pinang
Buah pinang muda
Mula masak
Sedang ranum
Menunggu gugur

Gambar diambil di seberang jalan di hadapan rumahku, pokok pinang hiasan kepunyaan En Tarmizi. Bila sebut pokok pinang aku terbayang pokok yang kurus tinggi dan pantun yang berbunyi; tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyu berlari; kalau dipinang-pinang tak daapt, ku pujuk-pujuk ku bawa lari. Duu, pokok pinang banyak gunanya untuk orang kampung; upihnya dijadikan penceduk air, pembungkus makanan dan tempat duduk untuk kanak-kanak lumba tarik. Batangnya pula dibuat titi atau tiang reban ayam dan kandang kambing. Lagi keistimewaan pokok pinang ialah mayangnya sangat wangi.

Pinang kampung buahnya masih ada harga, aku dengar RM 2.00 sekilo dan kilang gunakannya untuk membuat cat. Buah pinang yang masak berwarna oren kemerahan sementara yang tua berwarna hijau pekat. Bagi orang Melayu rujukan warna oren habis ialah warna pinang masak dan kalau ianya kekuningan disebut warna lemak ketam. Bukan susah tanam pokok pinang kerana ia tak makan ruang dan boleh dijadikan sempadan tanah. Buahnya yang masak diracik halus dan dimakan bersama sirih dan tampuknya di jadikan kraftangan.

Sebenarnya di hadaapn rumahku pun ada tiga pokok pinang hiasan tapi tinggi hingga susah nak mengambil gambarnya. Kata nenek tua di kampung buah pinang hiasan ni rasanya pedar tapi masih boleh dimakan kalau kehabisan pinang kampung. Hati berdetik dan berbisik.......orang tua-tua dulu, pandai betul cari sumber makanan, tidak ada rotan akar pun berguna.

Benci bakhil, Suka Baik

Syaidina Abu Bakar ra berkata orang yang bakhil ialah:

1. Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya.
2. Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
3. Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan pula. (Ada kalanya harta itu dicuri dan digunakan untuk maksiat).

Syaidina Umar ra berkata:

1. Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
2. Orang yang suka memnghina orang lain, dia juga akan dihina.
3. Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
4. Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

Tuesday, January 18, 2011

Di Desa Kasihku Tertumpah

Padi yang menghijau
Kebun getah
Membakar jerami padi
Kebun pisang
Kebun kelapa sawit

Di Desa Kasihku Tertumpah

Saujana mata memandang
Kehijauan sawah terbentang

Tenangnya sungai mengalir
Perahu nelayan ke hilir.


Pepohon melambai-lambai

Beburung terbang berkicau riang
Di sini kasihku tertumpah

Indahnya bumi bertuah.

Malangnya di sana sini

Hanya ayah tua yang bekerja
Ibunda di rumah menanti
Anank muda ke kota

Hibanya rasa di hati
Kemana rakanku menghilang diri

Kekasihku turut tergoda

Tinggalkanku di desa.
(H Hassan)


Gambar diambil semasa perjalanan ke utara, di kebun Pak Kholil dan Sungai Siput. Pemandangan biasa di kampung, ada sawah padi, kebun pisang, kelapa sawit dan getah. Namun begitu ada perbezaan antara pemandangan dahulu dan sekarang. Kalau dulu kebun pisang hanya di belakang rumah tapi kini ia di antara chalet dan homestay yang dibina untuk menarik pelancong yang inginkan suasana kampung yang tenang. Di kebun Pak Kholil tanaman pisang jadi sumber pendapatan selain mendapat sewa dari tapak perkemahan di situ.

Balik sekali sekala ke kampung memang menyeronokkan dan yang pertama aku buat setelah bersalaman ialah meronda di sekeliling rumah tengok itu ini; reban ayam, orkid mak dan pokok-pokok hingga ke sempadan tapak rumah yang tidak sampai 100 meter. Bila aku dah puas merayau barulah masuk ke rumah mendengar gossip terbaru tentang adik beradik dan jiran tetangga sambil makan nasi berlauk ikan kembung goreng dan sayur tumis pucuk paku.

Sawah yang terbentang? Masih ada tetapi kalau ambil gambar salah angle nampak bangunan tinggi dan taman perumahan. Sawah pun ada yang dibelah oleh lebuhraya dan paling banyak dikambus untuk membuat bangunan. Nampaknya perang antara tempat kediaman dengan kawasan bercucuk tanam semakin rancak. Apapun tanah pertanian pasti kalah dan terpaksa memberi laluan kepada pembangunan. Hati berdetik dan berbisik........maklumlah di sini ramai orang senang cari duit dan berduit untuk membeli makanan, jadi tak perlulah bersusah payah bertani dan berkebun.

Jaga Benda Berharga

1. Diceritakan oleh Ata' yang dia pernah mendengar Jabir bin Abdillah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: Apabila malam gelap telah tiba (masuk waktu senja) maka tahanlah anak-anak kamu (jangan biarkan mereka keluar rumah) kerana pada waktu itu syaitan-syaitan sedang berkeliaran. Apabla waktu itu sudah berlalu maka kamu bolehlah biarkan mereka.

2. Dan tutuplah pintu-pintu sambil menyebut asma (nama) Allah kerana syaitan tidak boleh membuka pintu yang tertutup. Ikatlah bekas minuman kamu dan sebutlah asma Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kamu dan sebutlah asma Allah walaupun hanya dengan melintangkan sesuatu di atasnya. Dan padamkanlah lampu-lampu kamu. (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

3. Tutuplah bekas, ikatlah geribah (bekas minuman dari kulit), kuncilah pintu dan padamkanlah lampu kerana dengan demikian syaitan tidak boleh membuka tali geribah, membuka pintu dan menyingkap bekas makanan. Apabila seseorang di antara kamu hanya dapat melintangkan sebatang kayu di atas bekasnya dan menyebut Nama Allah maka hendaklah dia melakukan itu. Dan tikus boleh menyebabkan rumah terbakar. (HR Bukhari)

Sunday, January 16, 2011

Orkid Purple Mr Chong

Tumbuh cara sympodial
Tangkai bunga menegak
Ada 10 kuntum
Bunga, close up

Gambar bunga diambil dari pondok orkidku. Pokok orkid ni lain sedikit dari yang biasa aku tanam dan antara orkid yang paling lama survive dalam jagaanku. Sejenis orkid sympodial dengan pseudobulb hanya beberapa ruas sahaja. Pseudobulb yang paling atas dan terpanjang mengeluarkan dua helai daun yang panjang tirus berwarna hijau tua dan tangkai bunga bila ia matang.

Pokok ini dijual oleh Mr Chong seorang salesman ubat-ubatan. Dulu dia pernah menanam orkid secara besar-besaran, tetapi tanahnya telah diambil untuk membuat jalanraya. Kemudian dia membuat nursery kecil untuk orkid di tepi rumah teresnya. Bila dia tahu aku juga peminat orkid dia telah membawa tiga pasu Phalaeonopsis berbunga putih, pink dan coklat serta pokok di atas, semuanya untuk RM 50.

Setelah dua tahun rumpun asal pokok orkid di atas telah luruh daunnya. Tapi aku simpan juga pseudobulb yang masih hijau dan alhamdulillah akhirnya ia bertunas semula. Menjadi satu kepuasan pula bila melihat pokok yang dibeli dapat bertahan lama dalam jagaan. Hati berdetik dan berbisik.........kalau menjaga pokok orkid janganlah terlalu dipedulikan sangat. Kekadang yang ditinggal-tinggalkan yang paling elok.

Sengsara Jika Ingkari Allah

Sudah pasti orang yang mengenal Allah swt akan tahu tujuan hidupnya, mengapa dia diciptakan dan untuk apa dia berada di atas dunia ini. Allah swt berfirman yang bermaksud, "Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu." (Az Zaariyaat: 56). Oleh itu dia tidak mudah tertipu dengan kesenangan dunia atau terpedaya dengan harta yang melimpah.

Sebaliknya orang yang tidak mengenal Allah swt sangat mudah lalai dan tenggelam dalam keseronokan. Mereka tidak pedulikan adanya petunjuk yang dapat membimbing kepada kehidupan yang selamat dan mulia.

Hal ini dijelaskan Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud, "Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan ayat-ayatKu dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini. Mereka berkata: 'Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri', kehidupan dunia telah menipu mereka, dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang kafir." (Al An'aam: 130).

Seterusnya Allah swt menceritakan tentang kehidupan mereka ketika di dunia dan balasan ketika di akhirat kelak dengan firmanNya yang bermaksud, "Dan orang-orang yang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka."
(Muhammad: 12)

Saturday, January 15, 2011

Pokok Patikan Kerbau

Pokok Patikan Kebau
Tumbuh liar
Bunga hingga ke hujung
Jadi rumpair

Gambar diambil di halaman rumahku. Pokok Patikan Kerbau ini mudah tumbuh di kebun dan tanah lapang, sawah dan malah di keliling rumah. Nama saintifik pokok ini ialah Eurphobia hirta L dan dienali juga sebagai pokok gatas-gatas dan gelang susu. Walaupun mempunyai banyak khasiat namun tidak ramai yang tahu dan tumbuhan ini dianggap sebagai rumpair yang perlu diracun atau dicabut.

Daunnya berbentuk oval memanjang terletak bersama bunganya pada jujukan ranting hingga ke hujung.
Umumnya tananam ini mempunyai khasiat antiradang, antibakteria, diuretik dan menghilangkan gatal. Air rebusan akar, batang dan daun pokok dipercayai boleh merawat asma, abses peparu dan bronkitis yang kronik. Ia juga digunakan untuk merawat batuk dengan kahak berdarah yang disebabkan oleh radang tenggorok.

Air rebusan juga boleh diminum untuk menambah pengeluaran susu ibu, melegakan
radang kelenjar susu atau payudara bengkak. Jus yang dibuat dari tumbuhan ini digunakan untuk merawat penyakit angin dan berak darah. Getah yang keluar dari tangkai daun yang dipatahkan pula disapu pada kulit yang gatal menghilangkan masaalah atau pada luka untuk mengelakkan jangkitan.

Get Mental Vision Checked?

Is it time to have your mental vision checked? When it is distorted you can grope in a haze of false concepts, bumping and hurting yourself and others unnecessarily. So;

1. Take a good look and recognize what you see. There may be acres of diamonds in your own backyard. Don't be near-sighted, look to the future.

2. Motivate yourself with positive mental attitude and you direct your thoughts, control your emotions and ordain your destiny.

3. It was based upon the simple observation that the longer I have had to suffer under trying circumstances, the more certain I was to appreciate my deliverance. This is part of the wisdom that comes to older men.

Wednesday, January 12, 2011

Nepenthes Periuk Kera

Nepenthes ventrata
Licin dan slim
Nepenthes burkei
Dotted, bibir tebal
Nepenthes ampullaria
Bulat gemok

Gambar diambil di nurseri bunga. Nepenthes adalah satu-satunya genus dalam famili Nepenthaceae dan ia dikenali juga sebagai 'pitcher plant' atau periuk kera, tabung beruk dan periuk kerengga. Namun terdapat lebih dari seratus spesis dan banyak lagi hybrids dan cultivars periuk kera sekarang ini. Pokok nepenthes dianggap istimewa kerana kantung yang terdapat di hujung sulur daun yang panjang. Pokok ini tumbuh samaada memanjat pokok lain menggunakan sulur hujung daun, di atas tanah atau sebagai epiphytes.

Nepenthes adalah pokok carnivorous dengan bahagian
kantung yang berisi cecair sebagai perangkap mangsa. Cecair ini mengandungi bahan yang dapat menghadamkan mangsa yang kemudiannya diserap oleh pokok. Oleh itu pokok ini biasanya terdapat di tanah yang kurang subur dan berasid.

Selain menjadi tanaman hiasan,
orang asli meminum air rebusan akar dan batang pokok nepenthes untuk merawat sakit perut, cirit birit, demam dan batuk. Air ini boleh juga dijadikan mandian untuk wanita selepas bersalin. Kantung nepenthes yang telah dibersihkan boleh digunakan sebagai bekas untuk mengisi makanan yang hendak direbus.

Cinta dan Benci Bagi Mukmin

Orang-orang yang beriman mereka saling mencintai dan tolong menolong di antara satu sama lain. Sifat-sifat mereka disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud, "Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu pasti diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah menjanjikan bagi orang-orang beriman lelaki dan perempuan syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan tempat-tempat tinggal yang baik di syurga 'Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar, itulah kemenangan yang besar." (At Taubah: 71-72).

Oleh itu orang-orang yang beriman telah menjadikan cinta atau benci akan sesuatu kerana Allah swt sebagai panduan yang memimpin mereka untuk menerima atau menolak sesuatu dalam kehidupan.

Segala pertolongan, persahabatan dan pemberian dilakukan dengan ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata. Sesungguhnya mereka amat cinta kepada sesama mukmin dan mendahulukan mereka dalam kepimpinan dan persahabatan daripada orang lain yang bukan seagama.

Tuesday, January 11, 2011

Sweet Simplicities

Seperti daun kucai
Bunga warna putih
Ada enam kelopak
Simple and sweet

Sweet Simplicities

Sweet leaves so crisp do fall from trees up high
To greet the gentle change in time with peace
These red and golden dreams so fresh breeze by
And then they help my worry to decrease.

Sweet stars a glowing in the sky so dark
They shine and give an everlasting light
Their winks to me give out a brilliant sparks
My frown does fade; I see their love so bright.

Sweet sunsets grace the heavens in a breath
And sweep smooth paint across the sky so blue
To make a fantasy so free from death
The colors of delight perfect my view.

The beauty of nature each day is grand
My heart dance with warmth up on the land.
(J M Landry)

Gambar bunga diambil di perkarangan ofis lama. Belum dapat cari nama saintifik pokok ini tapi aku menggelarnya pokok kucai kerana bentuk daunnya yang nipis dan runcing. Bila ditanam dalam kelompok atau berbaris ia memang cantik dengan bunga yang putih bersih terserlah di celah daun yang hijau pekat. Ada sejenis lagi pokok kucai ini dengan bunga berwarna pink.

Sebenarnya landskap di ofis ni di ganti dua minggu sebelum Menteri Besar datang untuk meresmikan korban perdana tahun lepas. Sebelumnya halaman kecil berbentuk oval yang ditumbuhi rumput kerbau di hadapan ofis ini memang sudah lama jadi buah mulut staff. Bukan apa, terlalu sederhana iaitu hanya ada dua tiang bendera, dua bulatan dengan tumbuhan berdaun kuning dan hedges pokok ixora yang mereket. Rupa-rupanya dalam kesibukan mengatur program dan sambutan untuk MB sempat juga tempat tersebut bertukar wajah. Tak sampai dua minggu dengan bayaran belasan ribu taman kecil menjadi landskap seperti dalam majalah.

Sebenarnya keindahan adalah pada hati yang merasa. Jika hati tenang dan berkenan, melihat sekecil-kecil bunga, sedikit warna pelangi atau seulas senyuman sudah cukup untuk membawa kegembiraan. Tidak semestinya sesuatu itu mahal, digilai oleh ramai orang atau susah untuk mendapatnya. Hati berdetik dan berbisik.....kekadang asyik merenung bintang di langit, terlupa pula pada rumput yang dipijak di bumi.

Perihal Derjat dan Keutamaan

1. Ketika Rasuullah saw sedang duduk tiba-tiba ada orang berjalan, lalu Rasulullah bertanya kepada orang yang duduk di sebelah baginda: Bagaimanakah pendapatmu tentang orang itu? Jawabnya: Itu orang bangsawan, demi Allah sungguh layak kalau ia meminang akan diterima, dan apabila ia membantu memintakan sesuatu untuk orang lain pasti akan diterima.

Rasulullah pun diam mendengar jawapan itu. Kemudian ada orang lain sedang berjalan, Rasulullah bertanya lagi kepada sahabat yang di sebelah baginda. Bagaimanakah pendapatmu tentang orang itu?

Jawabnya: Ya Rasulullah, itu orang miskin patut sekali kalau ia meminang tidak diterima, dan kalau menolong memintakan untuk orang lain tidak diterima. Maka sabda Rasulullah saw: Orang ini lebih baik dari sepenuh bumi seperti orang tadi itu. (HR Bukhari)

2. Rasulullah saw bersabda: Adakalanya seseorang yang yang terurai rambut dan berdebu, bahkan tertolak dari segala pintu rumah orang kerana rendahnya dalam pandangan manusia, tetapi kalau ia sungguh-sungguh minta kepada Allah pasti Allah akan menerimanya. (HR Muslim)

Monday, January 10, 2011

Bermacam Spathoglottis

Pokok orkid Spathoglottis
Spa plicata var alba
Spa parsonii
Spa gracilis/aurea
Spa paulinae

Gambar diambil di nurseri bunga. Spathoglottis adalah salah satu genus dalam famili orkid yang tumbuh secara simpodial. Ia beza sedikit dengan orkid simpodial lain seperti Cattleya, Cymbidium dan Dendrobium kerana pseudobulbnya berada di dalam tanah. Orkid Spathoglottis juga dikenali sebagai orkid tanah atau orkid pinang kerana memerlukan tanah gembur yang bercampur dengan bahan tumbuhan reput untuk hidup subur. Daunnya agak lebar dan tangkai bunganya yang menegak keluar dari pseudobulb yang matang.

Orkid pinang ni banyak mengingatkan aku pada perkarangan rumah di kampungku dulu. Biasanya kalau ada pokok bunga yang cantik masing-masing akan berlawan menanamnya. Tidak ada nurseri pokok ketika itu jadi mak saling bertukar tanaman ataupun mencarinya di belukar dan tanah terbiar. Selalunya orkid ini ditanam di dalam tin minyak tanah yang telah dibelah dua secara melintang atau dalam baldi yang sudah bocor. Tanah yang gunakan ialah tanah bakar yang diambil dari tempat pembakaran sampah.

Diwaktu itu yang ada hanya Spathoglottis berwarna purple iaitu Spa plicata. Orkid ni boleh di temui di kawasan semak dan juga di lereng bukit yang telah ditarah. Satu tempat yang aku suka ialah lereng bukit di tepi padang bola di Felda BB, jadi kalau ke sana aku mesti cabut beberapa pokok yang tumbuh liar dan bawa balik ke kampung. Hati berdetik dan berbisik......barang free ambillah banyak mana yang mahu.