Friday, October 15, 2010

Pokok Rambai Cik Normah

Pokok rambai berbuah
Buah rambai muda
Cantik bergantungan
Sudah masak, perang
Jatuh bertaburan

Semua gambar diambil di Kampung Ulu Kuang. Aku memang suka tengok pokok rambai yang sedang berbuah. Setiap dahan dan ranting mengeluarkan tangkai dengan buahnya bergantung macam mutiara dirangkai. Kat mana lagi ada pokok rambai kalau tidak di kampung-kampung. Macam pokok rambai dalam semak di tepi lorong ke rumah Cik Normah ni besarnya sepemeluk. Malangnya di hari ini dah tak nampak lagi pokok rambai dua tiga pemeluk besarnya.

Mungkin pokok rambai akan jadi salah satu pokok yang hampir pupus. Orang lebih suka tanam mangga nam dok mai, durian kawin, dokong Terangganu, nangka mastura, pulasan besar dan mata kucing yang buahnya semua manis macam madu. Buah rambai termasuk buah yang masam jadi tak termasuk dalam kategori buah berharga tinggi.

Pokok rambai Cik Normah berputik di bulan Mei. Jadi di pertengahan Ramadhan aku sempat merakam gambar buah rambai yang sudah masak dan berwarna perang. Sayangnya di bawah pokok sudah bertaburan buah yang gugur. Aku terpaksa memijak buah-buah di atas tanah untuk sampai ke tempat yang aku boleh ambil gambar dengan selesa. Bau masam manis buah terperam menikam hidung.

Nampaknya tiada siapa yang ingin memetik buah rambai kerana ramai orang sekarang tak kenal atau suka buah rambai. Hati berdetik......makan rambai ni kekadang jadi serba tak kena. Hanya setakat dapat hisap airnya kerana isi lekat pada biji. Jika telan terlalu banyak biji si pemakan akan alami sembelit pula.

Syaitan Yang Menyesatkan

Syaitan adalah makhluk sombong yang berikrar untuk menyesatkan semua manusia. Ikrar ini diabadikan dalam Al Quran dalam firman Allah swt yang bermaksud, "Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (cuba menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan datang kepada mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Al A'raaf: 16-17).

Salah satu langkah syaitan untuk menjerumuskan manusia ke dalam perangkap kejahatan adalah dengan cara menipu mereka. Penipuan yang dilakukan oleh syaitan tanpa disedari manusia melalui dua cara; pertama, mencampur adukkan kebenaran dengan kemungkaran dan kedua, menghiasi keburukan dengan sesuatu yang indah. Apabila penilaian antara buruk dan baik dalam kehidupan hanya mengikut neraca manusia maka kerosakan besar dalam masyarakat pun berlaku.

Tipu daya syaitan sangat halus dan menurut Ibnu Qayyum ada yang secara menyihir akal hingga ianya tertipu. Akal akan melihat bahawa perbuatan tercela adalah sesuatu yang bermanfaat sehingga pelakunya merasa telah beruntung walaupun menganiaya orang lain. Sebaliknya perbuatan baik digambarkan merugikan apalagi yang melibatkan penggunaan harta dan tenaga untuk ke arah kebaikan dan jalan Allah swt.

Adapun puncak segala tipuan syaitan ialah menghias perbuatan syirik agar manusia menyekutukan Allah swt. Manusia tidak sedar bahawa dia telah bertuhankan harta benda, kuasa, wang dan manusia lain dengan menjadikan perkara-perkara tersebut tujuan utama dalam hidup. Sesungguhnya syaitan tidak akan berhenti mengajak manusia untuk melakukan segala perbuatan jahat yang dibenci oleh Allah swt hingga manusia layak menjadi teman syaitan ke neraka.

Thursday, October 14, 2010

Ketumpangan Air

Tumbuh di pasu
Gemar tempat lembap
Pokok matang berbunga

Gambar pertama diambil di taman Pusat Kesihatan Kecil. Gambar kedua dan ketiga diambil di belakang rumahku. Pokok kecil ini nama saitifiknya ialah Peperomia pellucida dan tumbuh secara menegak, bercabang serta membiak di tanah yang lembap. Batangnya berair dan mudah dipatahkan sementara daunnya berbau sirih dan berbentuk jantung. Bunga ketumpangan air berwarna hijau muda tersusun pada tangkai yang panjang. Buahnya berwarna coklat dan bijnya mengandungi minyak pati.

Tumbuhan ini kurang mendapat perhatian kerana kerap tumbuh di tempat tercemar. Sebenarnya ia boleh dibuat ulam dan daunnya mempunyai bahan anti bakteria. Ia di percayai dapat menyembuhkan penyakit kulit seperti bisul, jerawat dan bekas terbakar.

Selain itu ia dapat menyembuhkan penyakit gout, sakit sendi-sendi, batu karang dan sakit perut. Cairan batang herba ini pula berguna untuk merawat sakit mata, sakit bahagian abdomen, demam dan sakit kepala. Ada tiga cara penggunaan herba ini iaitu memakan daunnya sebagai ulam atau direbus dan diminum airnya. Untuk kegunaan luaran daun hendaklah ditumbuk lumat dan ditampalkan pada bahagian yang sakit seperti bisul dan gatal kulit.

Apa Hal Cymbidium

Orkid Cymbidium
Orkid Cymbidium
Tunas dari pseudobulb
Masih kuntum
Kuntum telah layu

Dua gambar bunga orkid Cymbidium diambil semasa Agrofest 2010. Cymbidium adalah antara orkid tercantik kerana bunganya besar, warna menarik dan tersusun dalam jambak yang panjang. Bila aku melihat satu jambangan bunga yang besar di foyer Hotel Equatorial Bangi aku bertanya, dari mana bunga ni? Kata pengubah bunga ia didatangkan dari Cameron Highlands. Masa tu aku belum kenal banyak orkid eksotik.

Sesiapa yang kenal orkid Cymbidium tak akan miss memuji orkid Cymbidium Cameron Highlands yang tumbuh subur dalam tub-tub besar. Kekadang dalam satu rumpun ada tiga empat tangkai bunga yang berbunga lebat. Pokok pun tumbuh selamba tidak diperdulikan di sudut nursery yang menjual bunga ros dan chrysentemum. Lagi geram melihat yang ditinggalkan ditepi kebun sayur, tapi bunganya Masyallah.

Tiga gambar di bawah diambil dari pondok orkidku. Pokok orkid Cymbidium yang aku tanam sudah membiak dari dua pseudobulb sudah jadi empat. Walaupun tidak begitu subur tapi satu masa tu keluar juga tangkai bunganya. Bila sudah tinggi sekaki kuntumnya menjadi coklat dan layu.

Kemudian bila pseudobulb jadi lima tangkai bunga keluar sekali lagi. Macam dulu juga.....layu. Orang kata kalau dah terjadi dua kali ia akan terjadi sampai tiga kali. Hati berdetik dan berbisik takkanlah Cymbidium aku ni jenis dari negeri orang putih...

Monday, October 11, 2010

Tingkatkan Derjat

Selain melalui amal ibadah Allah swt boleh mengangkat derjat seseorang kerana dosa-dosa yang telah dia lakukan. Ini terjadi apabila seseorang yang berdosa telah benar-benar menyesali perbuatannya, bertaubat dengan bersungguh-sugguh serta melakukan perkara yang dituntut. Taubat tersebut hendaklah dilakukan dengan segera dan memohon ampun kepada Allah swt mesti dikerjakan secara berterusan. Dia juga mesti gigih menjauhi segala perbuatan dosa dan berusaha untuk menebus dosa-dosanya yang lalu dengan amal kebaikan.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai." (At Tahrim: 8). Sebaiknya orang beriman sentiasa bertaubat kerana manusia tidak pernah sunyi dari berbuat kesalahan.

Islam melarang menghina dan merendahkan orang lain kerana kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. Apalagi membesarkan dan menyebarkannya hingga diketahui umum. Selalunya berita tentang keburukan lebih cepat tersebar kerana ia ditokok tambah agar orang ramai mempercayainya. Sepatutnya kita beringat dan banyak bersyukur kalau tidak diumpat keji oleh orang lain. Kita masih dianggap baik oleh orang lain walhal pada hakikatnya Allah swt telah menutup segala keburukan tersebut.

Ada orang mengatakan jika ingin selamat maka jadikan diri kita sebagai kubur bagi aib orang lain. Jangan cepat menilai dan menjatuhkan hukuman sedangkan kita sendiri tidak tahu kedudukan yang sebenar. Menurut Rasulullah saw seseorang yang membuka keburukan orang lain maka Allah swt akan membukakan keburukannya pula.

A Blossoming Rose

Ros oren
Ros merah
Ros kuning

A Blossoming Rose

Feeling full of immeasurable dreams
Desiring to burst forth with unfolding hues
Opening with the natural ease of sigh
Blessed with a spattering of morning dew.

Petals instinctively absorb rays of warmth
Releasing a heavenly fragrance so freely
Intoxicating all who inhale as they pass by
Holding a matchless moment...demurely.

Admiring eyes drink in your amazing beauty
As a stride slows and comes a standstill
Your charm prevents time from going forward
Attaching to a heart that is lastingly fulfilled.
(T A Moore)

Gambar ros merah dan kuning diambil di nursery bunga. Biasalah bila ke sana, bunga ros yang paling menyerlah dan menjadi tumpuan. Pasu-pasu bunga ini disusun dalam kelompok mengikut warna hingga rambang mata orang yang datang. Kekadang nak tergelak melihat mereka yang berdiri di keliling pokok-pokok ros. Memberi nasihat sesama sendiri tentang memilih pokok, serangan serangga, menjaga dan membaja sampai si penjual terdiam. Dia pun berundur ke belakang sambil tersenyum simpul. Lantaklah...yang penting orang beli, tak payah aku buka mulut kerana ada yang rajin tolong promsi.

Gamabr ros pink diambl dari pondok orkidku. The only rose plant I have in my garden. Aku letakkan di bawah pasu orkid yang bergantung. Dah dua tahun dalam pasu yang sama iaitu pasu kecil diameter inci atau 8 sm. Dari pemerhatianku pokok orkid lagi hardy dari pokok ros. Pokok orkid tak ada masaalah tak kena hujan atau disiram beberapa hari. Tetapi pokok ros akan layu daunnya dan jika dibiarkan terus daun akan luruh dan batang jadi kecut.

Kalau ros boleh berbangga kerana baunya wangi, orkid pun wangi juga. Cuma satu ros menang....selama ni aku belum jumpa orkid berduri.

Saturday, October 9, 2010

Rumah Lama Nenek

Seingat aku rumah nenek sederhana besarnya, bahagian hadapan yang dipanggil anjung berbentuk T besar terbalik, tengah rumah dan dapur. Anjung tempat menerima tetamu dan tengah rumah tempat kami gantung kelambu bila malam. Tengah rumah sama luas dengan bahagian hadapan, ada dinding pemisah serta pintu di antara keduanya. Di sini ada sebuah bilik namun di luar bilik lebih empat buah kelambu boleh digantung serentak. Ruang yang kosong menghala ke dapur dinamakan ambin dan dari ambin ada tangga untuk turun ke bahagian dapur kerana dapur berlantai simen.

Rumah ini beratap zink tapi sudah banyak yang berlubang. Di waktu siang cahaya matahari menembusi lubang dan membentuk bulatan cahaya di atas lantai, Aku pelik kenapa cahaya ini berlainan tempat ketika pagi dan petang. Tetapi masaalah tiba bila hujan iaitu air menitik dari bumbung dan kami terpaksa tadah dengan baldi, besen, mangkuk dan periuk. Kalau hujan malan malam lagi susah kerana ada lubang setentang dengan tengah kelambu jadi kami kena runtuhkan kelambu. Kata nenek zink berlubang kerana bekas paku, telah lama dan berkarat.

Simen dapur pun telah retak hingga kami terpaksa berjalan berhati-hati. Sebelum dibuat dapur tempat ini bekas perigi buta yang tidak digunakan lagi. Jadi orang kampung yang membantu membina rumah telah memasukkan banyak kayu getah dan tanah untuk meratakan tanah. Lama kelamaan kayu tersebut reput dan tanah mendap lalu simen di atasnya retak.

Halaman rumah ini luas dan kami ada dua perigi iaitu di kanan rumah dan di belakang rumah untuk membasuh dan mencuci. Air minuman dari air hujan yang ditadah dalam tempayan besar yang terletak di bawah cucur atap. Sebenarnya aku suka rumah nenek dengan tingkap panjang hingga ke lantai dan alang kayu berukir separas pinggang. Dari sini selepas hujan selalunya aku dan moyang berdiri sambil memerhati air bergenang di halaman dan berharap ada buah kuini gugur dari pokoknya berhampiran dengan tempat membuat getah keping.