Wednesday, July 21, 2010

Cara Rawatan Dulu-Dulu

Masa di kampung dulu bukan mudah hendak ke klinik, apalagi kalau hanya sakit ringan seperti demam, pening lalat, sakit perut atau luka di lutut. Kebetulan moyang pandai mengubat serba sedikit jadi kami sekeluarga dan jiran terdekat akan ambil ubat dari moyang. Satu lagi penyakit yang aku tahu moyang merupakan satu-satunya tempat rujukan di kampungku ialah mengubat sakit mata.

Orang yang nak berubat sakit mata mesti datang pada waktu petang. Ada juga rasionalnya kerana di kampung jarang orang punya spek hitam dan waktu itu cahaya tidak menyengat mata yang sensitif. Pesakit akan datang ke rumah kami dengan membawa semangkuk kecil beras dan duit sepuluh sen. Aku suka duduk dekat moyang semasa rawatan kerana nak dapat sepuluh sen. Kata moyang dia membaca surah An Naas 3 kali, tiup pada mata. Itu saja.

Kalau sakit perut lagi senang mengubat. Ambil rumpair daun hijau kekuningan di belakang rumah (nama tak tau tapi aku kenal pokoknya), hancurkan di atas tapak tangan bersama kapur sirih dan sedikit air. Bila sudah hancur dan berbuih, sapu pada perut. Sekejap saja sudah lega dan boleh bermain.

Penawar cirit birit ialah dengan meminum setengah gelas teh pekat yang manis. Sebaliknya bila demam basahkan kepala dengan air yang telah diramas di dalamnya daun setawar. Perubatan orang kampung sangat ringkas dan kalau ada kudis di kepala hanya sapu minyak kelapa buatan sendiri yang dicampur dengan bawang merah yang digoreng hangus.

1 comment:

  1. orang tua dulu2 memang mengamalkan perubatan cara tradisional..tapi mujarab jugak kan..sehingga hari ni masih ada guna pakai lagi..

    ReplyDelete