Kalau musim buah getah gugur akan terdengar bunyi meletup seperti tembakan pistol kerana buah-buah getah yang merekah spontan. Ketika ia jatuh berserak ke bumi kami berkejaran merebut biji getah yang paling berkilat dan besar. Pungut sampai penuh semua poket untuk berlawan biji getah siapa yang paling kebal. Caranya; letak dua biji getah, satu di atas dan satu di bawah kemudian hentak dengan penumbuk. Yang tak pecah jadi pemenang.
Jika bulan puasa kami akan masuk ke kebun getah untuk memungut kelongsong biji getah untuk digunakan membakar kuih bahulu atau kuih bakar. Bahan ini standby kalau tempurung kelapa tidak cukup. Semuanya untuk jimat duit dari membeli arang kayu bakau. Arang jenis ini hanya digunakan untuk menyeterika baju kerana ia tak berasap dan abu panasnya tak mudah berterbangan.
Bila musim congkak kami cari biji getah lagi, sampai berbaldi-baldi untuk mengisi lubang congkak yang kami gali di bawah rumah. Nenak marah kerana kami buat banyak lubang di bawah rumah dan mak pula kerana kuku kami jadi kotor akibat kaut biji getah dalam tanah.
Mula-mula belajar mengira kami guna biji getah yang dirangkai dengan tali semacam tasbih. Biji getah ni pada satu tampuk ada tempat lembut manakala di hujung yang satu lagi terpaksa guna paku untuk membuat lubang. Yang bagusnya rantai biji getah ni boleh digunakan jadi perhiasan untuk sesiapa yang ingin jadi tuan puteri, permaisuri atau pengantin perempuan. Search: pokok getah
No comments:
Post a Comment