Thursday, September 2, 2010

Kanak-kanak Di Estet

 Columnea
 Aka "Goldfish Plant"
 Jenis merah menyala
 Rajin berbunga
 Tinggal tangkainya

Walaupun datang ziarah pada hujung minggu ke estet getah di tepi sungai tempat abah dan mak mencari rezeki namun aku tetap ramai kawan. Ada beberapa tempat yang kami suka berkumpul dan salah satu ialah di bawah pokok angsana besar rendang dekat di hadapan dua deretan rumah estet. Di bawah pokok ini ada bangku kayu panjang tempat penduduk di situ berehat.

Ketika orang dewasa pergi menoreh getah dan anak kecil ditinggalkan di 'nursery ' kami memanjat pokok dan mengutip daun dijadikan duit main-main untuk jual beli barang. Puas di bawah pokok kami ke tepi parit main pondok-pondok dan masak-masak guna tempurung kelapa atau serpihan pinggan porcelin. 'Sayur mayur' yang nak dimasak pun senang nak dapat kerana tempat di tepi kawasan semak samun.

Ada pokok yang kami tidak dibenarkan menyentuhnya iaitu tumbuhan dengan dengan bunga kuning cantik, daunnya bersusun dua baris pada satu pelepah seperti daun kari. Orang kata itu pokok gelenggang dan daunnya kalau dilumatkan bersama belerang baik untuk ubat panau. Satu lagi pokok keladi liar yang banyak tumbuh di tempat berair. Getah tumbuhan ini membuatkan kulit jadi merah dan gatal.

Oleh kerana di tepi sungai dipenuhi lumpur dan selut jadi banyak pokok bakau yang tumbuh di situ. Buah pokok bakau ni berbentuk seperti pedang, berwarna coklat, selalunya tercacak di lumpur tebing sungai. Kalau terjumpa terapung dalam air kami akan mengambil dan menyimpannya. Dan di tepi sungai ini ada pokok berembang dan pokok pedada tetapi tak ada pula orang hendak mengambil buahnya.

1 comment: