Tuesday, October 25, 2011

Hadnyai Delight, Wedding Song

Hadnyai Delight
Bunga kuning
Sebesar tapak tangan
Wedding Song

Bunga putih melepak

Dua jenis orkid cattleya dari pondok orkidku. Sudah jadi kebiasaan kalau pokok orkid berbunga aku akan terus ambil gambarnya. Bukan apa, mungkin ini kali pertama dan terakhir ia mengeluarkan hasil kerana dari pengalaman yang lepas-lepas ada saja pokokku yang mati selepas berbunga. Orkid cattleya kuning pekat sebesar tapak tangan ini namanya Hadnyai Delight. Bunga memang cantik menawan dan satu lagi kelebihannya ialah pseudobulb yang sederhana boleh mengeluarkan bunga yang awesome. Yang tidak bagusnya pseudobulb tumbuh bertindih-tindih hingga tunas baru sukar keluar.

Aku beli pokok orkid cattleya dengan bunga berwarna putih bersih ni di pasar tani dan kata si penjual namanya Cattleya Wedding Song. Romantiknya nama, entah betul entah tidak tapi bila dicheck di internet ada juga nampak iras-iras sikit dengan cattleya yang namanya serupa. K
ata penjual lagi pokok senang dijaga dan kerap berbunga kerana lepas saja kering tangkai bunga, anak baru akan muncul. Selalunya satu pseudobulb keluarkan satu atau dua kuntum bunga. Tengoklah, yang penting kekerapan beri baja; samada malas atau rajin.

Walaupun kedua-dua rumpun orkid ni masih ada tapi sudah beberapa kali tumbuh pseudobulb baru namun bunga tak menjadi. Lama juga menunggu dari tunas jadi pseudobulb matang dan kemudian tunggu lagi bila kuntum nak keluar. Sudah dibaja macam biasa, sudah dialih tempat menggantung pasu dan pokok diberi amaran kalau tidak berbunga akan dilelong tapi pokok tetap menyepi. Hati berdetik dan berdetik; ini yang frust bila ada orkid degil tapi masih blur apa sebab musababnya.

Menganiaya Diri Sendiri

Salah satu penerimaan manusia terhadap petunjuk Allah swt dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud, "Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri........." (Fathir: 32). Orang yang menganiaya diri sendiri disebut dalam ayat itu sebagai 'zalimun linafsih'. Mereka ini orang-orang yang melakukan sebahagian amalan wajib dan juga melakukan sebahagian yang diharamkan.

Contohnya orang yang mendirikan solat tetapi rasuah, berpuasa Ramadahan tetapi suka riya, membayar zakat tetapi menghina jiran, memberi nafkah kepada anak isteri tetapi menyakiti mereka. Pendek kata zalimun linafsih adalah orang yang bercampur dalam dirinya kebaikan dan juga keburukan samada disengaja atau tidak. Selalunya perbutan tersebut adalah kerana dorongan hawa nafsu, tamak dengan kesenangan dunia dan tertipu oleh pujukan syaitan.


Ibnu Taimiyah rhh menyatakan bahawa mereka ini termasuk dalam kelompok orang-orang yang beriman. Mereka mendapat kecintaan Allah swt sebanyak iman dan takwa mereka dan sekaligus mendapat kemurkaan sebanyak kejahatan mereka. Ini kerana pada diri seseorang ada terhimpun kebaikan yang menjanjikan pahala dan kejahatan yang menjanjikan seksa. Seluruh para sahabat, imam dan ulama muktabar menyatakan bahawa barangsiapa yang di hatinya ada seberat zarrah iman tidak akan kekal di neraka.

Thursday, October 20, 2011

Macam-macam Tetamu

Lebah madu,
bunga belimbing
Lalat, bunga jambu
Pepatung, daun nenas
Mentadak, bunga kemboja
Kerangga, bunga limau
Kumbang di daun orkid
Lalat, daun pegaga

Kalau rajin memerhati tentu lebih banyak benda yang dapat dilihat di kiri kanan kita. Selalunya kita melihat sesuatu secara sepintas lalu kerana terlalu banyak perkara yang ada di hadapan untuk diberikan perhatian yang mendalam. Dulu aku ni kaki membaca surat khabar, setiap muka surat ditelaah termasuk iklan dan sale, sajak dan cerpen. Tapi bila dah ada news on line ni, membaca berita tak sampai 5 minit. Klik sana, klik sini, selesai. Tengok headline aje kecuali berita penting. Sekali sekala beli paper cari yang paling banyak muka surat kerana paper lama banyak gunanya.

Sebenarnya pandai-pandai kita untuk memilih yang mana penting dan utama dikejar agar tujuan hidup tidak tersasar dari jalan yang mulia. Bila sudah tahu mana yang patut didahulukan ada ketikanya kena pause and ponder.
Ada orang kata if you want most in life, paddle slowly; maksudnya pelan-pelan. Kalau makan banyakkan kunyah dari menelan, baru rasa puas walau makan yang masuk ke perut sedikit. Mungkin boleh perhatikan kawan-kawanku yang slim semuanya makan secara pilih dan kais, lama baru nak menyuap. Contohnya kalau makan mee kari taugeh, tauhu dan sayur kira satu satu-satu dan tolak ke tepi. Kerang letak satu longgok. Lepas tu suap mee dan hirup kuah dengan sopan santun. Tapi bagi yang badan besar sebaik dapat sudu dan garfu terus laju menyuap. Alhamdulillah apa yang disuap semuanya sedap.

Ketika klik sana sini ternampak pula tetamu-tetamu di atas. Mereka bukan sama tabaiatnya, Yang cepat bukan main susah mengejar dan yang pemalu cekap menyelinap. Hati berdetik dan berbisik, adat tetamu.......ada yang datang sekejap, ada yang lama, ada yang bermanfaat dan ada yang merosakkan.

The Rough, Slippery World

1. The real world is not easy to live in. It is rough, it is slippery. Without the most clear-eyed adjustment we fall and get crushed. (C Day)

2. Success is not final, failure is not fatal, it is the courage to continue that counts. (W Churchill)

3. There are some people that you could not change, you must either swallow them whole or leave them alone. (M Asquith)

4. The man who read nothing at all is better educated than the man who reads nothing but newspaper. (T Jafferson)

Sunday, October 16, 2011

Pokok Mas Cotek

Pokok Mas Cotet
Dijual di nursery bunga
Daunnya jadi ubat
Bintik emas di bawah
daun

Dijadikan pokok hiasan

Nampaknya ada saja herba yang menjadi fokus dari masa kesemasa. Bermacam jenis silih berganti; sekejap Jarum Emas dan Misai Kucing kemudian Kacip Fatimah dan Tongkat Ali dan satu masa dulu Mas Cotek pula digilai orang. Merata orang mencari pokok Mas Cotek, kalau yang di sebelah pantai barat tentu ke Trangganu dan Kelantan kerana khabarnya pokok ni banyak terdapat di sana. Masing-masing berlumba mencari dan menanam. Ada yang kata hanya jenis tertentu yang boleh dijadikan ubat manakala yang lain mempertahankan bahawa kombinasi beberapa jenis daun Mas Cotek baru ada power. Malah yang berimaginasi tinggi membuat campuran sendiri dari 40 jenis herba untuk dijadikan teh.

Nama saintifik pokok ini ialah Ficus deltoidea dan nama tempatan selain Mas Cotek ialah pokok Secotek Emas, pokok Barito dan pokok Raja Ubat. Pokok ini hidup meliar dan suka menumpang pada pokok lain walaupun bukan jenis pokok parasit. Pokok Mas Cotek betina mempunyai daun yang lebih lebar dan besar. Dari daunnya yang mempunyai bintik hitam atau keemasan di antara dua urat daun maka pokok ini mendapat namanya.

Pokok Mas Cotek adalah herba warisan perubatan Melayu dan sangat berkhasiat terutama bagi wanita. Ia berguna untuk mengecutkan rahim setelah melahirkan anak selain dari memecah lemak serta memotong kolesterol yang berlebihan dalam salur darah. Air rebusan daun, batang dan buah mampu menyembuhkan penyakit peparu berair, sakit pinggang, mengurangkan keletihan dan meningkatkan nafsu. Daunnya boleh dipetik dan dikunyah semasa segar atau dikeringkan untuk disimpan lama. Air rebusan daun kering ini diminum untuk memulihkan tenaga.

Curi Masa, Buang Masa

Dalam sehari apa sangat yang aku sudah buat? Ke dapur dan ruang tamu, ke garden, ke pasar atau ke supermarket, ke tempat tidur. Memang ada rancangan nak buat itu ini yang lebih berguna tapi tak kesampaian. Tulis list what to do dalam dairi, dalam hand set dan white board di dinding rumah namun tak sempat semedang. Kalau dapat buat tak sampai 50%. Hari ini berjanji hendak ke surau waktu petang tapi terasa letih pula. Rupanya jadi juga setelah bersilat menggoreng potato wedges, buat teh O, lap dapur etc. Lepas solat asar capai beg dan bergegas mendengar pengajian tentang kematian dan alam kubur.

Waktu pagi biasanya curi masa mengisi blog walau banyak yang mengacau di rumah. Rasa bersalah melihat penyampu yang diambil tersandar di dinding, sebakul kain yang sudah dimesin menunggu di pintu dapur dan pokok orkid masih belum disiram. Sebenarnya boleh nak siapkan kerja rumah dulu tapi selalunya ilham datang tak tentu masa. Masa nak buat segala kerja tulah ia datang mencurah-curah. Nak tulis itu, nak tulis ini; sampai empat lima topik boleh dikarang. Orang pandai kata sebenarnya ini bukan ilham apapun, cuma tendency nak mengelak dari buat kerja kerana manusia secara amnya hanya mencari yang paling senang dan paling disukainya.

Hari ini aku mendengar lagi bahawa masa yang paling banyak di habiskan oleh manusia ialah untuk tidur. Kedua makan dan minum, ketiga tengok tv dan keempat ke tandas. Average man le tu kerana ada juga yang cerdik, kurangkan tidur dan lebihkan masa buat kerja berfaedah. Kerja tak berfaedah tu contohnya tengok tv. Ramai (termasuk aku) geram tengok iklan banyak sangat, berita yang tak relevant diulang-ulang, drama dan filem ganas dan atau boring tapi masih setia menonton. Hati berdetik dan berbisik; bodohnya aku, tak dapat apapun.....kena tipu hidup-hidup dan mati mati percaya.

Wednesday, October 12, 2011

Dari Sorang Baik Berdua

Dua kuntum cattleya
Purple lips
Dari Agrofest 2010
Dari Agrofest 2010
Dari Agrofest 2010

Dalam bab gaduh-gaduh kecik antara dua orang sebenarnya banyak perkara boleh diselesaikan kalau dibawa berbincang. Berbincang maksudnya dengan menjaga niat, topik, perkataan, nada suara dan tempat bercakap. Jangan pakai langgar sebab nanti ada yang terluka dan tercedera bila kedua-dua tidah boleh kalah. Tetapi kalau masing-masing sudah nampak ada harapan untuk win-win situation, Insyallah semuanya akan berjalan lancar. Selalaunya jika ada dalam hati siapa nak makan siapa maka yang terasa teraniaya akan memprotes secara senyap. Sudahnya semua balik dengan tangan kosong.


Bila two is company, three is a crowd. Berkonfrantasi berdua jarang jadi perang besar jika tidak ada pihak ketiga. Orang ketiga mungkin berperanan simbah bahan api untuk memarakkan keadaan atau membuat perselisihan semakin berterusan. Terutama jika dia ada kepentingan dan memberikan nasihat salah yang konon untuk kebaikan semua pihak. Tidak ramai orang yang tahan simpan rahsia dan rasa tak puas hati kerana mencurahkan perasaan dikatakan boleh menghilangkan stress. Bila bertukar cerita ada perkara yang tidak patut keluar sudah terbongkar.

Teringat tempat pertama bekerja dan terpaksa tinggal sendirian. Rumah tersebut antara tiga buah rumah di atas bukit yang dikelilingi padang rumput yang luas beratus ekar. Sempadan ladang ini ialah hutan tebal yang bersambung dengan Banjaran Titiwangsa. Hari pertama aku sampai di rumah itu (aku datang sorang-sorang dengan bas dan sampai ketempat itu menumpang motor seorang pekerja) hari sudah petang. Aku hanya duduk di beranda sambil melihat awan mendung sambil menangis teringat keluarga di kampung, takut dan sunyi. Hati berdetik dan berbisik, teroknya.... alangkah baik ada teman berdua dan dalam kes ini jika bertiga lagi meriah.

Sunday, October 9, 2011

Beberapa Rahsia Hati

1. Sesiapa yang mencaci dirinya di hadapan khalayak ramai sebenarnya ia memuji dirinya; itulah riya'. (Hasan Al Basri)

2. Satu lagi tanda kemunafikan ialah rasa gembira apabila mencaci sahabat sendiri. (Hudzari)

3. Sesungguhnya ikhlas itu bermakna ketika bersamaan amalan seorang pada zahir dan batinnya. (Huzaifah Al Mu'asyi)

4. Telah diteliti oleh alim ulama akan pengertian ikhlas maka mereka tidak menemui selain dari yang disebut ini iaitu gerak dan diamnya seseorang dalam keadaan susah dan senang hanya kerana Allah swt semata-mata tanpa dicampuri oleh hawa nafsu dan dunia. (Abu Muhamad Tastari)

Wednesday, October 5, 2011

Tumpang Bird's Nest Fern

Bird's nest fern
Asplenium daun lebar
Daun kerinting
Di atas tunggul mati
Asplenium dan Orkid
Di dahan pokok durian

Kalau tinggal di kampung mesti pernah melihat pokok Asplenium aka Bird' nest fern yang tumbuh di atas dahan pokok. Kekadang tumbuhan ini melekap atau terselit pada pokok buah-buahan, pokok getah atau kelapa dan juga pokok hutan yang tinggi dan besar. Asplenium lebih cantik jika tumbuh bersama pokok tanduk rusa atau staghorn fern yang daunnya berjuntai ke bawah. Tapi sekarang orang bandar lebih pandai memanfaatkan pokok ini dengan menanamnya di dalam pasu dan dijadikan hiasan landskap atau di beranda. Kalau nak senang cari pokok ini di nurseri bunga dan ramai orang menanamnya kerana ia mudah dijaga dan membiak.

Tapi nenek moyangku menggelarnya pokok lukut. Ada cerita menarik di sebalik pokok ini dan semasa kecil aku suka mendengarnya. Ketika itu bila malam menjelang kami menggunakan pelita, kampung jadi sunyi sepi dan di luar rumah gelap gelita. Sambil menunggu ngantuk selepas solat isya nenek bercerita dari luar kelambu. Katanya ada seorang atuk kamu iaitu adek moyang (tak tau yang keberapa) telah tersesat di hutan dan beliau telah dikejar oleh sekumpulan orang yang akan memenggal leher jika menemui orang dari daerah lain. Kiranya puak nenek moyang dan puak tersebut saling bermusuhan. Nak dijadikan cerita atuk hilang selama seminggu.

Untuk menyelamatkan dirinya atuk telah menyembunyikan diri di atas pokok lukut yang melekap tinggi di dahan pokok pulai. Khabarnya tiga hari tiga malam beliau berlindung di situ hingga saudara maranya datang menyelamatkan. Mungkin setelah gagal menjejak mangsanya puak tersebut telah kembali ke tempat mereka. Jika tidak tentu ada cerita tentang perang besar dengan kepala bertaburan dan badan bergelimpangan di bawah pokok. Bila diingat sekarang cerita ni tak logik juga, tak lapar ke, tak buang air ke dan pokok pulai sangat tinggi. Takkan puak tu senang -senang gave up the chase. Tapi betullah kata Fizz, jangan banyak tanya kalau dengar cerita dulu-dulu. Hati berdetik dan berbisik, nak buat macamana... inilah keindahan bed time stories dari nenek moyangku.

Tunduk dan Menyerah Diri

Islam bererti tunduk dan menyerahkan diri kerana setiap orang yang beriman wajib tunduk dan patuh kepada Allah swt. Allah swt berfirman yang bermaksud. "Maka Demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (An Nisaa': 65).

Jelaslah bahawa mentaati Allah swt adalah juga dengan mentaati pesuruhNya iaitu Nabi Muhammad saw tanpa sebarang keraguan dan merasa terpaksa.

Asas ketundukan dan penyerahan diri merupakan pengakuan yang tulus ikhlas dari lubuk hati bahawa manusia dan seluruh alam adalah ciptaan dan kepunyaan Allah swt. Oleh itu Allah swt berhak mengatur segenap ciptaanNya sesuai dengan kehendakNya.

Allah swt berfirman yang bermaksud. "Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNya berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan." (Ali Imran: 83)