Thursday, April 2, 2015

Akhlak Yang Baik


Akhlak yang baik mempunyai nilai yang tinggi dalam Islam hinggakan setiap Muslim dianjurkan untuk berhias dengannya. Perlu diingat bahawa ukuran baik atau buruk suatu akhlak bukan ditimbang menurut selera individu atau ukuran adat ciptaan manusia. Boleh jadi apa yang dianggap baik oleh adat itu langsung tidak bernilai dalam timbangan syariat hingga ia menjadi amalan yang sia-sia.

Besar silapnya jika ada orang yang menganggap bahawa tingkahlaku atau perangai hak diri sendiri untuk menentukannya. Sebenarnya orang berbuat demikian telah keliru dan jahil tentang nilai kehidupan dan tujuan sebenar dia berada di atas muka bumi ini. Walaupun tindakannya hanya memudharatkan dirinya namun dia telah mengkhianati tanggungjawab yang diberikan oleh Allah swt iaitu untuk menjaga nikmat yang dipinjamkan olehNya.

Sehubungan itu orang Islam mengetahui dengan jelas bahawa setiap aspek kehidupan termasuk akhlak seorang Muslim mesti berpandukan pada syariat yang diturunkan oleh Allah swt. Allah swt yang mencipta manusia dan sekelian makhluk maka dengan keluasan ilmuNya Dia Maha Mengetahui apakah yang mendatangkan kebaikan bagi hamba-hambaNya.

Di akhirat kelak setiap manusia sangat berharap agar timbangan amal baiknya lebih berat dari timbangan amal buruknya. Selain dari ibadahnya kepada Allah swt ada lagi yang boleh memberatkan timbangan amalan iaitu akhlak yang baik. Rasulullah saw bersabda: Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik. (HR Abu Dawud, Ahmad). Tiada contoh tauladan yang paling baik melainkan apa yang telah baginda tunjukkan dan ajarkan kepada umat baginda.

0 comments:

Post a Comment