Cerita pokok getah lagi? Di kampungku, hidup yang di kelilingi oleh pokok getah membuatkan kami faham tentang pokok ini dan kegunaannya. Untuk mendapat susu getah setiap hari orang kampung ke kebun menoreh, no excuse kecuali kalau ada perkara penting seperti diri sendiri sakit, kematian atau kenduri kendara jiran terdekat, hujan sangat lebat dan banjir besar. Tak ada ambil MC atau ponteng kerana kerja kampung mesti guna tulang empat kerat jika mahu dapur selalu berasap.
Kalau daun getah mula gugur pada bulan Februari orang kampung muram kerana getah tidak banyak keluar selepas ditoreh. Pendapatan terjejas dan ada yang menoreh berselang hari sebab nak bagi pokok berehat. Kebetulan ketika ini musim kemarau dan angin agak kuat jadi daun getah sekejap sahaja penuh di halaman. Pagi petang kena menyapu daun kering dan orang yang paling sesuai menyapu mestilah kanak-kanak yang mudah disuruh.
Bila pokok getah berdaun muda dan mula berbunga, masa ni pula banyak ulat bulu yang kecil-kecil memakan pucuknya. Makhluk ni merayap di mana-mana dan sesiapa yang terkena pasti menggaru. Bukan setakat di kebun ada ulat bulu tetapi kekadang sampai bertabur di dalam rumah. Terpaksa kutip dan buang seekor-seekor. Sambil tu kerja mencari kayu api dari dahan-dahan yang jatuh di kebun tetap berjalan. Sekali lagi kanak-kanak kena kerah kerana orang tua yang memang banyak idea berkata: dari merayau tak tentu hala baik bawa kayu api balik ke rumah.
No comments:
Post a Comment