Abu Zar ra berkata bahawa ketika aku berjalan bersama Nabi saw di jalan kota Madinah kami mengahadap ke Bukit Uhud, lalu Nabi saw bersabda: Hai Abu Zar! Jawabku: Labbaika ya Rasulullah. Nabi saw bersabda: Aku tidak suka kalau sekiranya aku mempunyai emas sebesar Bukit Uhud itu, dan masih tinggal berbaki padaku sedinar selama tiga hari kecuali yang tinggal itu untuk membayar hutang. Kecuali jika untuk aku bahagi-bahagikan kepada hamba Allah ke kiri dan ke kanan dan ke hadapan dan ke belakang .
Kemudian Nabi saw berjalan dan bersabda pula: Ingatlah, orang yang banyak harta itu yang paling sedikit pahalanya di akhirat kecuali yang mengeluarkan hartanya ke kanan kiri, ke hadapan ke belakang tetapi sedikit sekali yang demikian itu. Kemudian Nabi saw bersabda kepadaku: Engkau tunggu di sini dan jangan meninggalkan tempat ini hingga aku kembali. Maka Rasulullah saw terus berjalan di dalam malam gelap itu hingga tidak kelihatan.
Tiba-tiba aku mendengar suara kuat yang menimbulkan kebimbanganku terhadap diri Rasulullah saw hingga aku ingin mengejar baginda. Tetapi aku ingat pesanan baginda: Jangan pergi hingga aku kembali. Maka tidak lama kemudian Nabi saw kembali dan aku bertanya: Aku tadi mendengar suara yang menimbulkan kebimbangan padaku. Baginda bertanya: Apakah kau mendengar? Jawabku: Ya.
Jawab Nabi saw: Itulah Jibril datang kepadaku memberitahu: Siapa yang mati dari umatku tiada menyekutukan Allah dengan suatu apapun, pasti masuk syurga. Aku bertanya: Meskipun dia telah berzina dan mencuri? Jawab Nabi saw: Walau dia telah berzina dan mencuri. (HR Bukhari, Muslim)
No comments:
Post a Comment