Thursday, July 1, 2010

Tapai Pulut Warna Hijau

Satu sajian yang tak pernah tak ada di rumah nenek pada hari raya ialah tapai pulut. Tapi aku pelik kerana tapai pulut orang lain berwarna putih dan nenek buat tapai berwarna kehijauan. Bila aku tanya nenek kenapa, nenek kata tapai jenis inilah yang paling sedap dan manis. Oleh kerana tapai bukan makanan kegemaranku jadi aku tak tahu nak menilainya. Yang aku nampak buat tapai berwarna kehijauan ni lebih rumit dan tambah kerja.

Mula-mula kena ambil daun pucuk manis yang sudah tua (asin-asin), tumbuk, tapis dan ambil airnya. Air warna hijau yang pekat ni digaul dengan pulut yang telah dikukus. Kemudian pulut yang telah berwarna ini dikukus sekali lagi dan diletakkan di dalam dulang untuk disejukkan. Setelah betul-betul sejuk barulah ragi ditabur dengan mengayak ragi yang telah dihancurkan pada pulut dan menggaulnya hingga rata.

Kemudian pulut dikepal sebiji-sebiji sebesar bola ping pong. Ketika mengepal jari dan tapak tangan akan dibasahkan dengan air yang telah dicampur dengan sedikit lada putih, gula dan air perahan lengkuas. Bebola ini dimasukkan ke dalam daun keladi, selalunya lima biji dalam satu daun dan dilipat kemas seperti membungkus kuih koci. Semua daun ini dimasukkan ke dalam periuk besar dan disusun rapi agar air tapai tidak mengalir keluar, ditutup dan dibungkus dengan kain. Periuk tidak boleh dibuka hingga genap dua hari dua malam. Hasilnya tapai ini sangat manis dan airnya banyak bertakung dalam daun keladi yang segar hijau. Cantik juga.

1 comment:

  1. Salam... ni tapai pulut hijau kawasan mana ye...entry saya pun ada tapai pulut hijau tapi area sg.panjang.

    ReplyDelete