Sunday, June 8, 2014

Biarlah Berlaku Adil

Kaktus
Kaktus
Kaktus
Bukan sayur, pokok hiasan
Bunga kekwa

Aku teringat wanita empat puluhan yang kami panggil Wak Isam, rumahnya lebih kurang 500m dari rumah nenek. Walaupun kisah ini telah berlalu namun aku kagum dengan cara nenek dan wak berkongsi. Kalau datang bertamu dia akan duduk di pintu dapur dan menegur budak-budak perempuan dengan pangilan 'galoh kacil' atau little miss. Dia pandai memuji dan kami suka padanya walau dia berpakaian lusuh dan nampak tak terurus. Kata nenek dia telah ditinggalkan suami dan anak-anak bujangnya, lalu dia sangat kecewa dan hampir hilang ingatan. Kesian betul kata nenek.

Sesekali aku ke rumahnya. Rumah tu cuma ada dua ruang, ruang tamu yang luas lantai papan. ruang dapur juga luas, lantai simen dan ada pangkin papan. Yang peliknya seluruh ruang tamu penuh dengan pelbagai barang dan bungkusan kain baju. Pangkin dapur pula bersepah dengan bakul mengkuang, pinggan mangkuk dan periuk belanga. Bagiku betul misteri kat mana  agaknya orang tua ni tidur. Untuk hidup dia menoreh di kebun getah di belakang rumahnya.

Dia selalu minta nenek belikan barang dapur secara berkongsi. Lepas ke kedai nenek dan wak akan duduk di depan pintu dapur menghadap sehelai kertas. Di atasnya di longgok kopi, gula dan tepung, kemudian setiap longgok dibahagi dua. Satu untuk wak dan satu untuk nenek. Kalau beli minyak masak, minyak dituang ke dalam dua gelas, disukat dan dibanding agar sama banyak. 

Kemudian wak dan nenek akan berkata 'kita sama-sama halalkan yang terlebih dan terkurang' sebelum mengambil hak masing-masing. Beginilah selalunya Wak akan tersenyum puashati dengan barang-barangnya. Sebelum pulang memuji kami secara berlebihan kerana telah dijamu oleh Mak cik dengan air kopi dan jemput pisang. 

0 comments:

Post a Comment