Monday, March 23, 2015

Bilis-bilis Diitumis

Donat, lelagi donut
Buat mee goreng mamak
  Persediaan untuk
 pertandingan
Yang menang
Halwa/Jelly/Cup cakes??

Aku kagum orang yang suka dan pandai memasak. Rajin mencari dan bertanya resepi, mencuba dan kemudian menjamu sepenuh hati. Tapi ada dua orang yang aku kenal berkata, memasak not in my blood. Cakaplah masakan apa dan bagaimana sedapnya sesuatu juadah tapi mereka hanya tersenyum. Bila diajak makan mereka akur tapi tidak le menikmati sungguh-sungguh apa yang dihidangkan. Mereka makan pelan-pelan, kais taugeh dan asingkan fishball dan isi ayam, hirup kuah. Hampir sejam baru selesai makan mee sup. Jadi badan mereka langsing dan mereka cerita perkara lain selain periuk belanga dan rempah ratus. Puan Hajah buat duit jual beli emas dan Puan Jo memang orang kaya. Pendik kata tak masak pun tak apa.


Bila aku survey adik beradik dan keluarga rata-rata mereka kata nilai masakanku cuma sekadar 'boleh le makan'. Tak pernah ada yang kata tolong masak lagi atau membawa pen dan kertas minta resepi. Mereka sudah maklum memasak ni bukan termasuk dalam list yang aku suka buat. Kalau orang angkut buku resepi ke dapur aku kepit novel atau sekurang-kurangnya majalah lama. Dapat paper lama pembungkus belacan pun jadi untuk dibaca. Sambil tunggu menggoreng, merebus, dan memerap aku curi-curi membaca. Sebab itu juga masakanku tak improve, terpaksa masak sebab nak makan.

Bila nenek moyang dulu ajar panaskan minyak tumis bawang aku pula buat terbalik. Panaskan bawang dalam kuali dulu, baru tuang minyak. Reasons: Minyak tak merecik ketika menumis kerana bahan tak berair, permukaan dapur dan lantai clear tak perlu dilap dan dimop lepas memasak. Jimat tisu, kain buruk, masa dan tenaga dan dapat selamatkan bumi. Yang penting bagi aku, cepat masuk dapur cepat keluar dapur......merdeka.

Aku ngaku masakan ku kurang mendapat sambutan. Supku tawar, kari cair dan gulai tak lemak. Teringat ketika abah tinggal seminggu di rumahku, mula-mula dia mencari garam dan gula kerana semuanya tawar. Setelah balik kampung mak pula mengadu kata abah masakannya masin dan kopinya terlebih manis. Eloklah kataku beringat sebab abah ada darah tinggi dan mak pula kena kencing manis. Hati berdetik dan berbisik.........garam, gula dan perisa, sedap sekejap tapi mudaratnya berkekalan.



0 comments:

Post a Comment