Tuesday, September 25, 2012

Tunggu Dapur Berasap

 Bawang sedulang
 Rempah tumis
 Mee sempoi Julie
 Gulai ayam Julie
 Sup gear box

Kalau hendak memasak aku akan panggil sesiapa saja yang sedang mengadap komputer (kecuali K, sebab dia boss) agar boleh masuk sama ke dapur. Al maklum, jika di depan komputer cuma saja-saja nak browse atau klik sana-sini,  lebih baik memasak. Kecuali ada yang betul-betul penting. Membuat rujukan, lapuran dan baca e-mail semuanya boleh buat lepas makan. Memasak bukan lama, selama 45 minit saja kalau cekap dan ada pembantu. Cepat masak cepat makan, kan senang.

Masa muda mesti rajin ke dapur, sekurang-kurannya meneman kalau belum lulus jadi chef. Bukan apa, kerja di dapur memang cukup banyak dan hendak cepat. Potong bawang, basuh ikan, basuh beras, tumbuk cili, blend perencah, siang sayur dan macam-macam. Belum lagi nak masak sayur yang rumit seperti keladi, pucuk paku atau pisang muda atau kupas labu manis yang kulit menggerutu dan berlekuk-lekuk. Dan juga membasuh pinggan, piring, mangkuk, periuk, sudu, senduk, lesung batu dan penapis yang sedia menunggu di dalam sinki.

Aku pula tak berapa suka duduk
lama-lama di dapur. Kalau boleh menu harian biar yang sempoi seperti sayur tumis dan ikan goreng. Menumis hanya ambil masa tiga empat minit terutama sayur daun hijau dan sambil mengoreng ikan curi baca novel. Lainlah seperti jadi pembantu tukang masak ketika di kampung dulu. Memasak berjam-jam. Nak dapat santan bermula dari membuang sabut dari kelapa biji. Nyalakan api kena bersusah payah menghembus sabut yang ada bara api hingga apinya melekat di kayu. 

Sayur mayur nenek moyang pilih yang kena kikis, kupas dan rebus dulu sebelum boleh digulai. Ikan sungai mesti dibasuh berkali-kali dengan tepung, asam dan garam untuk buang lendir dan bau hanyirnya lebih kuat. Kemudian saru disalai, digoreng atau dipais.  Aduhai.....susah-susah selepas balik dari menoreh getah sempat juga memasak dan menghidangkan makanan untuk keluarga tersayang. Hati berdetik dan berbisik.........untung dan senangnya di zaman ni, walau dapur tak berasap makanan lebih cepat terhidang.

0 comments:

Post a Comment