Thursday, April 17, 2014

Berkebun dan Berhasil

 
 Pokok labu

Bunga jantan

Bunga betina
Labu muda
Sudah matang

Bila dengar orang berkebun dan dapat hasil hingga tak habis makan, hatiku macam dicuit-cuit untuk mencuba. Tanah sekangkang kera di belakang rumah boleh dimanfaatkan dari ditumbuhi rumput. Tentu seronok menuai hasil tapi sebelum tu kenalah mencurahkan keringat untuk berbudi pada tanah. Berkebun dibulan Februari lalu memang mencabar kerana musim kemarau. Cuaca panas, tanah kering dan semua tanaman kena disiram dua kali sehari. Dalam mencuba, Alhamdulillah pokok yang hidup (mati pun banyak) ada yang mengeluarkan daun dan buah yang boleh dituai.

Pokok pertama yang ditanam ialah labu manis. Kemudian tambah dengan dua belas pokok kacang bendi, bayam, terong dan petola. Benih kawan bagi dan tanah asal cuma perlu ditabur dengan serbuk sabut kelapa dan tinja ayam. Walaupun kena beli cangkul dan penyikat baru tapi aku cuba berjimat. Kumpul bahan organik untuk buat baja kompos dan baja enzim.  Kitar semula beg bekas baja sawit, botol plastik dan pasu orkid. Ranting buluh dan dahan rambutan diguna untuk pancang dan para. Bila ada biji benih aku kongsi atau tukar dengan geng suka bertani. 

Ketika musim kemarau bulan lalu banyak tenaga habis untuk menyiram. Biji disemai hanya sedikit yang tumbuh dan paling perit menjaga anak pokok yang baru dialihkan ke batas. Kena dilindung dari panas terik dan disiram selalu. Dimusim hujan sekarang ni seminggu tak disiram pun tak apa. Tapi rumpair cepat tumbuh, ulat bulu naik makan daun dan pucuk, bunga dan putik mudah gugur. Pokok labu pula gila daun dan banyak bunga betina tapi tak ada bunga jantan. Namun bila bunga jantan berkembang tak satu pun bunga betina ada untuk dikawinkan.

Warta berita kata, bulan Mei depan hinggalah  September kita akan menghadapi kemarau lagi. Itu satu ramalan, belum tentu betul (semoga tak betul). Apapun aku dah bersiap nak meneroka lebih banyak kawasan di belakang rumah dan nak order biji benih online. Hati berdetik dan berbisik....... teruskan berbudi pada tanah nanti berbaloi-baloi hasilnya.



0 comments:

Post a Comment