Tuesday, April 22, 2014

Busuk-busuk Pekasam

 Bunga kenanga
 Bunga cempaka
 Bunga kesidang
 Bunga ros
Bunga melur


Rupanya ramai orang yang aku kenal minat makan ikan pekasam tapi senyap macam malu nak mengaku. Rahsia ini hanya terbongkar bila kami makan tengahari bersama di kantin pejabat dan ada ikan pekasam. Lauk ayam goreng, daging kicap dan sambal petai semua tolak ke tepi. Mula-mula bajet nasi sepinggan dan sedikit sayur seorang tapi tanpa disedari pesan lagi dua pinggan nasi extra. Wah! bertambah tambah Cik Minah dan geng (dan aku) makan sampai lupa janji nak diet.

Bila duduk di bandar rumah rapat-rapat jadi agak sukar nak goreng ikan pekasam tanpa disyaki jiran sebelah menyebelah. Tapi nak buat macamana? Cara aku: Mula-mula goreng bawang merah, bawang putih, cili hidup dan halia yang dihiris. Angkat dan kemudian barulah goreng ikan untuk elak minyak kotor dan berkeladak. Semasa menggoreng api jangan terlalu kuat nanti isi ikan tak masak sebab pekasam lembap. Bila sudah garing baru angkat. Tutup kuali kalau nak kurangkan bau semerbaknya.

Ketika di kampung dulu air pekasam ni tidak dibuang bahkan direbus dengan bawang merah dan cili padi. Gunanya untuk mencicah nanas atau belimbing muda. Ada  juga orang buat ikan pekasam masak lemak. Bahannya santan pekat, bawang, kunyit hidup dan cili padi yang ditumbuk halus biar terasa kepedasannya.

Dalam banyak ikan, aku rasa pekasam ikan sepat dan ikan puyu yang paling top. Tak kiralah makan dengan nasi panas atau nasi sejuk, guna pinggan Corelle atau upih pinang, di dalam restoren atau di kebun getah. Isinya gebu dan macam 'melting in the mouth'.  Hati berdetik dan berbisik.......penangan pekasam, bila dah mula makan memang sukar untuk dilepaskan.

0 comments:

Post a Comment