Friday, May 16, 2014

Bila Kenal Tv

Daun keladi (nurseri)
Daun keladi (nurseri)
Daun keladi (nurseri)
Daun keladi kampong
Daun keladi 'Rosebud'

Pertama kali aku tengok tv ialah bila diajak abah ke rumah kawannya di bandar Batu Pahat. Yang teringat cuma bintik-bintik, garis hitam putih yang bergerak ketika tuan rumah nak tunjuk sesuatu pada kami. Lama berlalu, baru abah mampu beli tv tapi ada tv saja tak cukup, mesti ada letrik (kampong di zaman gelap). Jadi kalau nak tengok tv kena ada yang nak ke pekan untuk cas bateri. Selalunya Pak Jon yang tolong kami. Dia berbasikal sejauh 5 km dengan membawa bateri diikat di carrier belakang basikal.

Dengan kos 3 ringgit bolehlah menonton tv selama tiga atau empat malam kalau berjimat. Yang paling seronok tengok filem Melayu dan bintang RTM. Biasanya rumah yang ada tv tak boleh tutup pintu sambil menonton sekeluarga. Kena ajak jiran tetangga menonton sama. Lagi meriah bila cuti sekolah kerna kami ramai-ramai kumpul duit upah kutip getah beku, cari sayur kampong atau cabut ubi untuk cas bateri.


Sebelum ada tv di rumah kena pergi ke rumah orang lain bila nak menonton. Naik basikal dekat 2 km pada setiap malam Jumaat dan malam Sabtu hanya nak tonton filem Melayu. Waktu itu tv hanya ada dua saluran saja iaitu RTM Satu dan RTM Dua. Jenuh nak tunggu seminggu penuh baru dapat tengok P Ramlee berlakon. Saluran Dua hanya ada filem Inggeris tapi tak diminati sebab sekampung buta kayu tak faham cakap orang putih. 

Tayangan filem ni lambat bermula, kira-kira pukul 11 malam setelah habis rancangan berita dan peristiwa serta iklan yang berjela-jela. Bila tengok tv menumpang di rumah orang kena duduk atas tikar baik-baik. Mana ada makan minum atau ke dapur dan ke tandas. Begitulah setianya menanti. Dan semua orang mula membetulkan sila dan boleh menarik nafas lega bila jeng, jeng, jengggggg.......'Marilah sama-sama kita saksikan  filem 'Batu Belah Batu Bertangkup''. Hati berdetik dan berbisik......betullah, penantian satu siksa.

0 comments:

Post a Comment