Tuesday, May 27, 2014

Pinang, Tunang dan Kompang

Elok berdua
Mr Red and Miss Yellow
Sesama oren
Sesama kuning
Dua kuntum teluki

Berita baik anak saudara (lelaki) umur 27 tahun bertunang hari ni. Pihak lelaki akan bawa 7 dulang ke rumah perempuan. Duit hantaran dah sepakat nak bagi sebanyak RM 13,000. Selain itu diiringi dengan sebentuk cincin, sepasang baju, kasut, beg tangan, kek dan lain-lain. Setiap item diletak di atas dulang berkaki beralas baldu, dihias bunga-bunga ros dan ditutup kain renda. Emaknya kata nak buat secara ringkas, sedikit doa selamat dan bertolak lepas solat zohor. Tiga biji kereta penuh penumpang jugalah. Mujurlah rumah perempuan hanya 50 km sahaja, jadi tak susah nak merancang perjalanan.

Seingat aku dalam tahun 80an hantaran belanja di kampongku standardnya RM 2,000. Kalau lebih mesti anak orang kaya atau gadis yang paling cantik yang akan dijodohkan dengan 'somebody' dari bandar. Sebelum tu, di tahun 60an masa Pak Ngah bertunang, belanja hantaran cuma RM 500. Barang hantaran sebentuk cincin emas yang dipanggil cincin belah rotan dan kain empat ela untuk dijadikan sepasang baju kurung. Barang-barang tersebut dibungkus rapi dan diletakkan dalam dulang tembaga bersama tepak sirih. Tak ada rombongan yang menghantar, cukup bakal ibu dan bapa mertua yang pergi.


Kenduri di zaman tu semuanya dibuat secara bergotong royong. Jiran tetangga menyumbang beras, gula, kelapa biji, ayam hidup dan telur. Kenduri tiga hari dua malam, kerana hari pertama siapkan balai dan tungku, hari kedua menyediakan makanan, hari ketiga barulah jamuan makan. Meriah bukan main kerana seluruh penduduk kampong datang menolong. Namun sekarang keadaan sudah berubah, tidak ramai yang sanggup jadi penanggah (memasak) dan kendarat (melayan). Tak ada masa dan ruang, jiran tak rapat dan keluarga pula jauh. Jadi kenalah berbelanja sikit untuk meraikan orang yang baru nak membina masjid. Hati berdetik dan berbisik........semoga Allah swt mudahkan semua urusan dan selamat menempuh satu lagi lembaran dalam hidup ini.


0 comments:

Post a Comment