Sunday, March 22, 2015

Letihnya Melayan Hati

Plumeria di halaman Mi
Bunga berjambak
A.k.a bunga kemboja
Cikgu kata fragifani
Ada warna pink, maroon 
atau putih

 Mungkin terjadi pada aku saja, orang lain tak kot? Letih betul sesekali terkena hantu lalu melayan hati yang tidak sihat hingga fikiran jadi berserabut. Sebenarnya banyak fikiran kreatif dan idea bagus boleh dijana kalau hati sihat. Namun namanya manusia yang beremosi dan berperasaan, semua kebaikan hilang bila jiwa tertekan.

Bila diselidiki tentunya fasal hati terutama sekali bila tersentuh hati, terhentak hati, tercalar hati atau terguris hati. Maka mulalah jauh hati sehingga kalau dipanjang-panjangkan menyebabkan lebih sakit hati dan hilang pertimbangan. Fikiran berlegar macam mana nak bagi puas hati dan cari jalan 'to get even'.

Kalau hajat tidak sampai mula termenung makan hati. Mula hati berdetap dan tersentap menuduh orang lain hati batu dan hati kering atau busuk hati dan buta hati.

Bila banyak sangat yang tak baik bersarang dalam hati maka hati akan terbius dengan pelbagai sifat buruk tersebut. Rasa diri tak bersalah dan telah dianaiya. Untung kalau cepat sedar, beristigfar dan ingat kesalahan. Apa hal jika tak sedar, terus koma dan full stop? Malang sungguh malang.

Semoga aku cepat jadi baik dan ingat cakap orang tua-tua, jangan ikut kata nanti binasa, jangan ikut hati nanti mati. Tidak mengapa buta mata tapi jangan buta hati. Hati berdetik dan berbisik....... dan sekiranya hati mati bayangkan, diri jadi mayat yang berjalan a.k.a zombie.

Pilih Hati Bahagia

Sesungguhnya hati yang bahagia ialah hati yang mengenal Allah swt dan yang dipenuhi oleh la illaha illallah, yang mencintai Rasullah saw dan mengikuti baginda. Allah swt mengingatkan agar orang-orang mukmin selalu waspada dari mempunyai hati yang lalai melalui firmanNya yang bermaksud, "...dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Al Kahfi: 28).

Ramai manusia yang terperangkap dengan kesenangan dan keseronokan dunia akibat hendak memuaskan hawa nafsu dan memenuhi ajakan syaitan serta kuncu-kuncunya.

Adapun hati yang sengsara ialah hati yang berpaling dari mengenal Rabb, tidak membaca dan mengikut petunjuk Al Quran, tidak mengingat Allah swt dan mengingkari ajaran Rasulullah saw.

Hati ini tidak akan selamat kecuali pemiliknya kembali ke jalan yang lurus seperti yang diperintahkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.Penting diingat bahawa untuk memiliki hati yang suci bersih yang tunduk kepada Allah swt semata-mata ianya mesti melalui proses yang panjang dan sukar.

Namun begitu Rasulullah saw menjelaskan salah satu cara untuk memelihara hati melalui sabda baginda: Sungguh beruntung orang yang (nanti) mendapat buku catatan amalnya penuh dengan istigfar. (HR Ibnu Majah, Ahmad, Abu Nu'aim).

Sunday, June 8, 2014

Biarlah Berlaku Adil

Kaktus
Kaktus
Kaktus
Bukan sayur, pokok hiasan
Bunga kekwa

Aku teringat wanita empat puluhan yang kami panggil Wak Isam, rumahnya lebih kurang 500m dari rumah nenek. Walaupun kisah ini telah berlalu namun aku kagum dengan cara nenek dan wak berkongsi. Kalau datang bertamu dia akan duduk di pintu dapur dan menegur budak-budak perempuan dengan pangilan 'galoh kacil' atau little miss. Dia pandai memuji dan kami suka padanya walau dia berpakaian lusuh dan nampak tak terurus. Kata nenek dia telah ditinggalkan suami dan anak-anak bujangnya, lalu dia sangat kecewa dan hampir hilang ingatan. Kesian betul kata nenek.

Sesekali aku ke rumahnya. Rumah tu cuma ada dua ruang, ruang tamu yang luas lantai papan. ruang dapur juga luas, lantai simen dan ada pangkin papan. Yang peliknya seluruh ruang tamu penuh dengan pelbagai barang dan bungkusan kain baju. Pangkin dapur pula bersepah dengan bakul mengkuang, pinggan mangkuk dan periuk belanga. Bagiku betul misteri kat mana  agaknya orang tua ni tidur. Untuk hidup dia menoreh di kebun getah di belakang rumahnya.

Dia selalu minta nenek belikan barang dapur secara berkongsi. Lepas ke kedai nenek dan wak akan duduk di depan pintu dapur menghadap sehelai kertas. Di atasnya di longgok kopi, gula dan tepung, kemudian setiap longgok dibahagi dua. Satu untuk wak dan satu untuk nenek. Kalau beli minyak masak, minyak dituang ke dalam dua gelas, disukat dan dibanding agar sama banyak. 

Kemudian wak dan nenek akan berkata 'kita sama-sama halalkan yang terlebih dan terkurang' sebelum mengambil hak masing-masing. Beginilah selalunya Wak akan tersenyum puashati dengan barang-barangnya. Sebelum pulang memuji kami secara berlebihan kerana telah dijamu oleh Mak cik dengan air kopi dan jemput pisang. 

It's All In The Mind



1. The only lack or limitation is in your mind. (N H Moos)

2. Your altitude is determine by your attitude. (Anon)

3. If you are aware of your weakness and are constantly learning, your potential is virtually limitless. (J Sidhu)

4. It's the constant and determined effort that breaks down all resistance, sweeps away all obstacles. (C M Bristol)

5. If you do not hope, you will not find what is beyond your hopes (S C Alexandria)

6. A wise man will make more opportunity than he finds. (F Bacon)

Tuesday, May 27, 2014

Pinang, Tunang dan Kompang

Elok berdua
Mr Red and Miss Yellow
Sesama oren
Sesama kuning
Dua kuntum teluki

Berita baik anak saudara (lelaki) umur 27 tahun bertunang hari ni. Pihak lelaki akan bawa 7 dulang ke rumah perempuan. Duit hantaran dah sepakat nak bagi sebanyak RM 13,000. Selain itu diiringi dengan sebentuk cincin, sepasang baju, kasut, beg tangan, kek dan lain-lain. Setiap item diletak di atas dulang berkaki beralas baldu, dihias bunga-bunga ros dan ditutup kain renda. Emaknya kata nak buat secara ringkas, sedikit doa selamat dan bertolak lepas solat zohor. Tiga biji kereta penuh penumpang jugalah. Mujurlah rumah perempuan hanya 50 km sahaja, jadi tak susah nak merancang perjalanan.

Seingat aku dalam tahun 80an hantaran belanja di kampongku standardnya RM 2,000. Kalau lebih mesti anak orang kaya atau gadis yang paling cantik yang akan dijodohkan dengan 'somebody' dari bandar. Sebelum tu, di tahun 60an masa Pak Ngah bertunang, belanja hantaran cuma RM 500. Barang hantaran sebentuk cincin emas yang dipanggil cincin belah rotan dan kain empat ela untuk dijadikan sepasang baju kurung. Barang-barang tersebut dibungkus rapi dan diletakkan dalam dulang tembaga bersama tepak sirih. Tak ada rombongan yang menghantar, cukup bakal ibu dan bapa mertua yang pergi.


Kenduri di zaman tu semuanya dibuat secara bergotong royong. Jiran tetangga menyumbang beras, gula, kelapa biji, ayam hidup dan telur. Kenduri tiga hari dua malam, kerana hari pertama siapkan balai dan tungku, hari kedua menyediakan makanan, hari ketiga barulah jamuan makan. Meriah bukan main kerana seluruh penduduk kampong datang menolong. Namun sekarang keadaan sudah berubah, tidak ramai yang sanggup jadi penanggah (memasak) dan kendarat (melayan). Tak ada masa dan ruang, jiran tak rapat dan keluarga pula jauh. Jadi kenalah berbelanja sikit untuk meraikan orang yang baru nak membina masjid. Hati berdetik dan berbisik........semoga Allah swt mudahkan semua urusan dan selamat menempuh satu lagi lembaran dalam hidup ini.


Kesyukuran Yang Terbaik

1. Bentuk kesyukuran yang terbaik ialah dengan menjadi pengikut-pengikut Nabi Muhammad saw yang taat. (Abu A'la Al Maududi)

2. Muslim yang sebenar tidak akan mempersoalkan keutuhan hukum Allah swt walau bercanggah dan tidak serasi dengan kehidupan moden Barat. Akan tetapi penganut faham kebendaan (materialisme) beranggapan bahawa sesuatu itu betul hanya kerana ramai orang mengamalkannya. Seorang Muslim sebenar yang yakin akan kuasa Allah swt tidak akan meniru apa yang dilakukkan oleh orang lain, sebaliknya dia akan menuju ke jalan yang Allah swt mahu ia mengikutinya. (Maryam Jameelah)

3. Hasil dari kecuaian ialah penyesalan, dan hasil dari ketegasan ialah keselamatan. (Saydina Ali ra)

Wednesday, May 21, 2014

Ramadan Dah Dekat

 
 Buah pokok hutan
 Chilli 'Marbles'
 Winter cherries
 Pokok di nurseri
 Mas cotek
Besarnya hajat nak jadi qariah tapi tak kesampaian sebab suara tak sedap dan belajar agama pun tak tinggi. Namun ada menimpan hasrat untuk membaca Al Quran dengan lancar dan betul. Apalagi bila terdengar suara yang perlahan tapi merdu dan indah membaca al Quran di Padang Arafah. Siapa? Katanya dia dari Kedah dan setiap hari dia membaca 1 juz .

Lepas tu mulalah aku cari kawan yang boleh dijadikan guru. Dapat sebut mahraj huruf tanpa gayat yang mana bunyi ha pedas, kha dalam dan kho yang bunyi macam dalam rengkong. Tahu mana nak dipanjangkan atau dinytakan bunyi bila jumpa empat hukum yang asas iaitu izhar, ihfak, idgham dan iklab. Teringat arwah mak yang baru betul-betul belajar tajwid ketika hampir 60 tahun. Katanya orang dulu-dulu baca ikut tok guru baca. Dia ajar dua tiga ayat dan kalau bacaan murid lancar dia akan alih dan ajar ayat berikutnya.

Rugi rasanya kalau tak tak ikut orang bertadarus di surau semasa bulan Ramadan ni. Walaupun pesertanya orang-orang warga emas belaka tapi mereka sangat cekap menyimak bacaan seseorang. Ada yang sudah bertahun-tahun belajar tajwid dari para guru yang bertauliah serta qari yang pernah menang diperingkat negeri dan antarabangsa. Bila bacaan ditegur di khalayak ramai ada juga yang berkecil hati hingga ada enggan datang bertadarus. Yang tebal telinga dan berniat bersih betul-betul nak belajar tetap teruskan juga. Nak dapatkan ilmu kena berkorban sedikit.

Bagi aku empat bulan sebelum Ramadan ni nak pecut sikit baca Al Quran. Habiskan tiga puluh juz dalam masa sebulan. Setiap 11 haribulan aku khatam, insyallah. Sebenarnya 11hb hanya catatan kerana aku sudah mulakan semula juz pertama sebelum 5hb di bulan yang sama. Oleh kerana juz 1 hingga 23 ayat-ayatnya lebih panjang dan sukar jadi aku cuba selesaikan pada hujung bulan. Kemudian habiskan 7 juz lagi dalam 4-5 hari di bulan berikutnya. Inilah cara aku memotivasikan diri. Apapun kena baca 1 juz sehari dan kalau termiss kena baca lebih pada hari yang lain. Hati berdetik dan berbisik........kalau tak dapat buat semua jangan tinggal semua.