Thursday, March 20, 2014

Lembu Dan Sanggul Keria


Jejaka pendiam
Paling hensem

Best pose
Relaks
Boring, rumput kering je


Wak Jembari besan nenekku dan rumahnya tak jauh dari rumah kecil kami. Selain menoreh getah, Wak seorang peraih getah keping dan beku yang diangkutnya dengan basikal berbakul besar di belakang. Aku kata bau getah semuanya busuk tapi nenek jawab duitnya kan wangi (semua gambar di atas diambil di Agrofest, Sg Siput Perak).

Aku akan ke rumahnya kalau nak makan buah-buahan kerana dia pemurah; nak makan buah cuma minta izin dan jolok elok-elok. Di waktu petang dia pakai seluar paras lutut, tak berbaju dan selalu sibuk; mencantas dahan dan membaja pokok, bagi makan lembu atau sabit rumput.

Tidak dibenarkan kami  membazir iaitu apa yang di petik mesti makan sampai habis. Ada jambu air dan jambu batu, limau manis, ciku, durian belanda dan rambutan. Kadangkala aku tolong dia bersihkan kandang lembunya atau bakar rumput kering untuk halau nyamuk dan agas. Hanya dia yang ada lembu di kampungku dan dia memanggil lembunya bah! bah! bah! sambil menyuakan segenggam rumput.

Isterinya selalu bersanggul berbentuk doughnut berhias bunga tanjung berkarang atau diselit bunga cempaka. Senyumannya manis dan bergemerlapan kerana semua giginya bersalut emas. Kata nenek itu tanda orang sugih (kaya dalam bahasa Banjar) dan banyak duit. Biasanya aku pergi terus mengambil buah atau ke kandang lembu sahaja kerana takut terserempak dengannya.

Bila nampak aku dia mesti ajak duduk di beranda lalu cepat-cepat ambil sikat dan cermin kecil dari dalam rumah. Lepas tu disuruhnya aku membuka lilitan sanggul, melepas serta menyikatkan rambutnya serta mencari uban di celah-celah rambut yang terurai. Aku benar-benar terseksa duduk di belakangnya dan dibebaskan untuk bermain sekurang-kurangnya selepas satu jam kemudian.

0 comments:

Post a Comment