Tuesday, September 6, 2011

Destinasi Terakhir Kita

Sesungguhnya syarat-syarat untuk masuk ke syurga amat ketat. Seseorang mesti beriman, beribadat, beramal soleh dan melakukan perbuatan berat seperti berjihad, sedekah dan menolong sesama manusia dengan ikhlas kerana Allah swt semata-mata.

Sebaliknya untuk ke neraka manusia tidak perlu bersusah payah malahan cukup dengan melakukan perkara yang disenangi dan menggembirakan seperti berpoya-poya dalam maksiat dan berbuat zalim.

Anas bin Malik ra berkata ketika hendak mendirikan solat Rasulullah saw bersabda kepada orang ramai iaitu: Hai manusia! Aku adalah imammu, jangan kamu mendahului aku dalam rukuk dan sujud, jangan kamu angkatkan kepalamu sebelum aku mengangkat kepalaku, aku dapat melihat orang-orang yang berada dibelakangku.

Dan demi Tuhan yang memegang jiwaku, kalau kamu dapat melihat apa yang aku lihat, kamu akan tertawa sedikit dan banyak menangis. Lalu orang ramai bertanya: Apakah yang engkau lihat, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Aku melihat syurga dan neraka. (HR Muslim).

Hadis tersebut menunjukkan bahawa syurga dan neraka sudah ada tersedia sekarang ini. Iannya telah disaksikan sendiri oleh Rasulullah saw sewaktu baginda Isra' dan Mi'raj seribu empat ratus tahun dahulu. Sesungguhnya keduanya sudah sedia menanti penghuninya iaitu jin dan manusia yang akan mengisinya kelak.

0 comments:

Post a Comment