Thursday, March 18, 2010

Jam Lampu Minyak Tanah

Sebelum ada jam susah juga kami nak tentukan waktu dengan tepat. Kalau siang kami boleh berpandukan matahari dan azan dari masjid. Tetapi Nenek dan Moyang ada cara tersendiri nak tahu pukul berapa mereka kena pergi menoreh getah.

Masa tu aku dan adik tinggal dengan mereka untuk bersekolah kerana Abah dan Mak berpindah ke estet. Setiap malam selepas solat Isya Nenek akan isi balang kaca lampu pelita dengan minyak tanah (kerosene). Seingat aku lampu tu pun buatan sendiri dari botol jem dan aluminium panjang seinci untuk letak sumbu.

Sumbu dibuat dari tali guni. Nenek kata kalau minyak berkurang hingga ke takat ini, maknanya sudah pukul dua dan takat ni pukul empat subuh. Untuk kuatkan hujah pukul empat, akan ada bunyi kapalterbang kecil sayup-sayup terdengar yang Nenek cam bunyinya.

Nenek dan Moyang akan mula menoreh sebelum pukul lima subuh dengan lampu di kepala. Bila mendengar azan mereka akan balik solat dan kejutkan kami untuk bersiap ke sekolah. Pada satu hari Pak Uda yang sudah tamat latihan askar di Port Dickson belikan Nenek jam loceng.

Walaupun Nenek tidak pandai membaca tapi tengok jam dia pakar. Mudahlah kami nak tahu waktu kerana setiap malam jam tu akan diletakkan di sebelah lampu di luar kelambu.

0 comments:

Post a Comment