Friday, March 12, 2010

Sepiring Mee dan Air Sirap

Di zaman sekolah rendah dulu sepiring bihun atau mee goreng cuma 10 sen. Tapi itu pun dapat beli sekali sekala kerana selalunya kena bawa bekal nasi berbungkus upih atau daun pisang dari rumah.

Kami ramai-ramai makan di bawah pokok getah atau pokok buluh di tepi parit. Minum air hujan yang di takung dalam tempayan guna cawan sompek atau air paip. Mudah saja. Kantin di masa tu cuma sebuah pondok usang dengan sebuah meja panjang.

Di kedua hujung meja nilah 2 orang mak cik penjual tu meletakkan barangannya. Mee satu besen serta beberapa jenis kacang dan kerepek yang kami panggil jajan. Oleh kerana ada ada dua ladies maka kami gelar mereka Wak Tua dan Wak Muda.

Kalau membeli, ikut siapa yang kuat dia ke hadapan atau melalui tingkap kecil di belakang ke dua-dua mak cik tersebut. Itupun ikut siapa kuat dan siapa yang pandai menarik perhatian.

Pernah juga tengok mee yang berkuah dan canggih. Cuma cikgu-cikgu yang mampu beli dan murid darjah enam yang dipercayai akan tolong order dan ambil dari rumah Wak Muda (kantin tak ada dapur, sekolah tak berpagar, rumah Wak tak jauh). Seorang akan tatang sepinggan mee dan seorang bawa air sirap ke bilik guru. Oleh kerana masa rehat, ramailah yang tengok dan admire. Pendik kata di masa tu cikgu semuanya top belaka baik dalam percakapan, pakaian dan makanan.

0 comments:

Post a Comment