Sunday, March 14, 2010

Si Dia Berambut Afro

Aku akan tersenyum kalau tengok orang berambut Afro kerana teringat masa kecil di kampong dulu. Di waktu petang aku akan ikut keluarga ke kebun untuk membersihkan kawasan pokok getah yang sudah ditebang.

Kerja aku merayau di dalam kebun, tolong membakar ranting kering atau mengambil barang yang tertinggal di rumah. Kebun tu lebih kurang 1 km jauhnya dari rumah iaitu di kampong sebelah dan merentasi dua kebun getah yang semak. Di jalan kecil dalam semak tersebut ada satu spot yaang paling aku geruni.

Khabarnya di bawah rimbunan pokok-pokok kopi itu ada penunggu yang di panggil 'kuyang'. Semuanya perempuan, bermulut muncung dengan rambut sebesar bakul. Mereka duduk berderet mencari kutu terutama di waktu lewat petang di kala hujan gerimis.

Tambahan jika pokok kopi sedang berbunga, kawasan menjadi harum semerbak dan lebih menyeramkan. Jika terpaksa balik mengambil air, aku akan melaungkan azan sekuat hati sambil berlari di sepanjang jalan hingga air secerek yang dibawa habis tumpah.

Nenek kata, kuyang kadangkala akan datang waktu kita sedang tidur untuk menghisap darah. Tandanya ialah ada kesan lebam pada bahagian badan pada keesokkan harinya. Kalau ada lebam (lepas terantuk) aku cukup takut kerana sahlah si dia telah datang menziarahiku.

0 comments:

Post a Comment