Tuesday, February 11, 2014

Yang Menghitung Hari


Paku Ekor Merak
Bunga Kertas
Maiden Hair Fern
Pucuk Cycus
Paperomia glabella

Entri ini aku tulis selepas aku balik dari menziarah Mak di selatan tanahair satu ketika dulu. Tapi tak sempat nak disiapkan lalu dibiarkan saja dalam 'draft'. Bila terjumpa balik dan membacanya air mataku menitis mengingat beliau yang telah pulang ke rahmatullah beberapa bulan kemudian. Aku letak gambar pokok kesayangan Mak iaitu tanaman peninggalan arwah Abah untuk mengiringi kenangan ini. Tumbuhan ini yang selau membuat Mak tak mahu berjalan jauh kerana risau pokok kering tidak bersiram.

Lima hari aku balik kampung duduk di rumah lama dengan Mak. Tak sempat nak pusing jumpa semua orang  sebab masa yang ada aku lebih suka duduk-duduk dekat Mak sambil bersembang, mendengar dia mengaji Al Quran selepas solat dan tolong memasak lauk kegemarannya. Sejak Abah tak ada Mak banyak buat gardening, katanya nak keluarkan peluh. Aku tolong gantikan pasu orkid yang sudah sesak penghuninya, tebang pokok pisang lemak manis yang telah masak buahnya dan cantas pokok kesidang dan bunga kertas yang namapk semak.

Walau adik beradik datang silih berganti datang temankan Mak tapi tak sama seperti kalau arwah Abah ada. Aku tak nampak Mak senyum namun sunyi hatinya Allah swt sahaja yang tahu. Aku boleh tangkap dalam sibuk dia bercerita dengan nada ceria ada terselit ayat-ayat yang menyembunyikan perasaannya yang sebenar: Pokok ni, yang tu Abah kau yang tanam, kalau ke bandar di mesti pergi dengan En Hassan, aku tak nak bela ikan puyu ni tapi Abahkau  suka etc. Hatiku sangat sayu ketika melihat Mak melambaikan tangan semasa bas yang membawaku balik jauh ke utara mula bergerak.

Setiap hari kita mendengar harapan orang yang hidup dan memori yang ditinggalkan orang yang telah pergi. Dalam sedih dan bimbang hati berdetik dan berbisik: malam dan siang, sihat dan sakit, kelahiran dan kematian adalah ketentuan yang silih berganti........Hati berdetik dan berbisik, dulu yang mati adalah moyang, kemudian nenek, kemudian ibu bapa dan tibalah turn aku pula ke sana......

0 comments:

Post a Comment