Tuesday, May 4, 2010

Bentuk Kekayaan Hakiki

Setelah umat Islam mendapat kemenangan pada perang Hunain, kaum yang baru masuk Islam menerima harta rampasan perang beratus unta dan kambing. Akan tetapi kaum Muhajirin dan Ansar pulang ke Madinah bersama Rasulullah saw tanpa membawa harta.

Ini membuat segelintir mereka tidak berpuas hati dan hal tersebut didengar oleh baginda. Abdullah bin Zaid ra berkata: Rasulullah saw berdiri dan berkhutbah kepada kaum Muhajirin dan Ansar.

Setelah memuji Allah swt baginda bersabda: Wahai golongan Ansar! Tidakkah aku bertemu kamu semua dalam dalam keadaan sesat, lalu Allah tunjukkan kamu dengan perantaraan aku? Tidakkah aku menemui kamu semua dalam keadaan miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya dengan perantaraan aku?

Tidakkah aku menemui kamu semua dalam keadaan berpecah belah, lalu Allah menyatukan kamu dengan perantaraan aku? Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit. Rasulullah saw bersabda: Mengapa kamu semua tidak menjawab pertanyaanku?

Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih berhak mengungkit pemberian. Rasulullah saw bersabda: Kamu boleh berkata begitu dan begini walhal perkara sebenarnya adalah begini dan begini. Seterusnya baginda menyebut beberapa perkara. (Amru iaitu perawi hadis menganggap perkara-perkara tersebut tidak perlu dihafal).

Selanjutnya Rasulullah saw bersabda: Tidakkah kamu redha jika orang lain kembali dengan membawa kambing dan unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu? Golongan Ansar itu seperti pakaian dalam sedangkan orang lain seperti pakaian luar (maksudnya orang Ansar yang paling dekat di hati Nabi saw).

Kalau tidak kerana hijrah tentu aku adalah salah seorang di antara golongan Ansar. Sekiranya semua orang melalui lembah-lembah tentu aku akan melalui lembah bersama golongan Ansar. Kamu pasti akan ditimpa oleh satu keadaan yang tidak disukai setelah aku wafat.

Oleh itu bersabarlah hingga kamu bertemu denganku di sebuah telaga pada hari kiamat. (HR Bukhari). Inilah gambaran tentang para sahabat yang beriman bahawa kekayaan hakiki adalah menerima apa yang diberikan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh RasulNya.

0 comments:

Post a Comment