Saturday, May 1, 2010

Susah Cari Jika Disorok

Lewat petang itu kami sekeluarga dipanggil ke rumah nenek sebelah abah kerana adik abah yang dua tahun tua dari aku telah hilang. Sebelum asar pakcik khabarnya telah dimarahi oleh nenek.

Perangai Ajis, kalau merajuk suka meyorok di bangsal simpan kayu api lama-lama. Sehingga lewat petang kelibatnya tak kelihatan dan nenek jadi risau. Mereka mencarinya dan bertanya pada jiran namun tidak juga ditemui.

Hari hampir gelap dan semua jiran tetangga dipanggil untuk membantu. Ada yang bimbang kerana kebun getah di belakang rumah nenek bersempadan dengan sungai, kalau-kalau dia ke sana pula.

Tanpa membuang masa mereka terus bergerak ke dalam kebun getah. Sambil berjalan mereka azan dan takbir dengan kuat termasuk kanak-kanak yang mengikut dari bekalang. Akhirnya mereka sampai di rumpun pokok kekabu di hujung kebun getah dekat tebing sungai.

Setelah puas mencari barulah mereka terjumpa Ajis sedang terbaring dengan badan licin dan lembik keletihan di bawah sebatang pokok tersebut. Ketika tabuh berbunyi tanda masuk solat maghrib, Ajis didokong balik ke rumah. Antara ingat lupa katanya ada seseorang membawanya ke atas pokok dan memegang-nya.

Dia nampak orang kampung mencarinya, mendengar mereka memanggil tapi dia seperti bisu. Masa dia mendengar azan yang semakin kuat dia telah jatuh dan terbaring hinggalah mereka menemuinya di bawah pokok itu.

0 comments:

Post a Comment