Thursday, May 20, 2010

Dua Jiran Di Estet

Di estet kami berjiran dengan dua keluarga yang sangat berbeza cara kehidupan mereka. Di sebelah kanan rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri yang ada enam orang anak lelaki berumur antara setahun hingga 13 tahun.

Dari pagi sampai malam kedengaran mereka berlari, bergaduh dan menangis; gedegam gedegum bunyi menembusi dinding papan antara rumah kami. Budak-budak tu nakal dan berani, jaguh mandi sungai, panjat pokok jambu, pancing ikan dan berkelahi.

Kalau ada yang buat salah ayah mereka akan pukul dengan tali pinggang sementara ibu mereka mendiam-kan diri. Rumah di kiri didiami oleh sepasang suami isteri yang sebaya dengan abah dan mak.

Mereka tak ada anak jadi rumah itu senyap, bersih terurus dan mak cik tu pun suka pakai lawa. Satu hari mak cik ajak mak berbasikal sejauh 6 km ke pekan PR untuk keriting rambut atau berkaran. Aku yang mengikut mak terpinga masuk kedai keriting rambut yang mempamirkan banyak sikat serta berbakul-bakul pengulung dan sepit rambut.

Aku tengok macam mana rambut mak dan makcik dibasuh, digulung sikit demi sedikit dalam kertas tebal berkilat. Kemudian dibalut dengan tuala good morning lembab; aku agak mesti tak selesa kerana nampak panas dan berasap. Oh ya... orang kata dalam kertas ada karbaid.

Lepas tu baru penggulung dibuka dan rambut dibasuh. Setelah sekian lama menunggu keluarlah makcik dan mak dengan tudung nipis diikat di bawah dagu dan saiz kepala lebih besar kerana rambut yang kerinting kembang telah diset keras.

0 comments:

Post a Comment