Sunday, May 23, 2010

Bersiap Pergi Kenduri

Waktu dulu pergi kenduri kahwin memang satu keseronokan kerana dapat makan sedap dan melawa. Kalau malam sebelum tu hujan turun lagi baik. Tak perlu menoreh waktu pagi, dapat bersiap dan pergi awal.

Dulu jarang ada kenduri, mungkin setahun hanya dua tiga kali termasuk jemputan dari kampung sebelah atau saudara mara dari daerah lain. Selalunya kalau pergi kenduri selepas menoreh getah dan solat zohor. Budak-budak dikerah mandi, potong kuku dan pakai baju terbaru.

Anak gadis bersolek dan merah-kan bibir dengan menyapu kertas pemerah yang dibeli dari kedai. Lepas tu perkara yang penting ialah pakai barang kemas. Dua tiga hari sebelum itu mak dan nenek dah siap cuci barang kemas dengan air suam dan sabun.

Kami akan pakai gelang, rantai serta loket, subang dan butang intan di baju kurung. Lama juga pakai memakai kerana semuanya mesti diikat dengan benang pada pencangkok supaya tak tercicir dan hilang. Oleh kerana nenek dan moyang sudah hajjah jadi mereka buat penutup kepala istimewa.

Mula-mula rambut disikat, belah ditengah. Kemudian tutup dengan tudung kasa panjang yang diikat di tengkok. Rambut akan digulung di dalam tudung hingga menjadi seperti dua tali panjang di belakang telinga. 'Tali' ini dililit bersilang di atas kepala, dirapikan dan ditutup dengan selendang.

Baru kini aku tau namanya fesyen marhamah. Bila sampai ke tempat kenduri kami berjalan dengan tersipu kerana perasan orang mesti perhati dari atas kepala sampai ke hujung kaki.

0 comments:

Post a Comment