Sunday, August 1, 2010

Tak Mudah Cari Makan

Haf kata rezeki ada di mana-mana dan aku pun tidak menyangkal. Cuma aku peringatkan kerana realiti hidup yang akan dilalui langsung tidak seperti yang disangkakan. Takut dia salah anggap semuanya mudah dapat, nak apa saja semua tersedia. Dalam Astro memang semua ada, namun nak makanan kena berjalan ke peti ais, barang di dalam peti ais mesti ada orang yang memasukkannya. Yang mencari mesti ada duit membeli atau usaha menanam sendiri.

Hidup bukan angan-angan tetapi terpaksa dijalani dengan menggunakan akal dan pancaindera yang ada. Misalnya macam ni.....Allah swt jadikan di padang rumput Afrika penuh binatang, kuda belang, eland, rusa, gazelle, kudu, dll yang boleh di makan oleh singa dan harimau. Tapi kenapa pemangsa ni selalu juga lapar? Banyak bukan bererti mudah dapat atau senang-senang jatuh ke riba.

Untuk dapat makanan sekawan singa atau harimau kena memburu, memerhati, mengendap, mengejar, melompat, mencakar, mengiggit dan membaham tengkok mangsa hingga mati. Sebelum makan mereka kena lindungi tangkapan dari dicopet oleh dubuk. Makan ikut peraturan, yang kuat makan dulu dan yang lemah kemudian.

Manusia pula kena berkerja untuk dapatkan rezekinya. Negara kita penuh dengan hutan, kebun, ladang, kilang dan kedai, tapi bukan semuanya kita punya. Kita kena gerakkan akal dan tulang empat kerat untuk menapatkan hasil. Kalau tidak samalah seperti singa atau harimau yang duduk melihat segala binatang melintas di hadapannya tanpa mengoyangkan seurat misai atau ekornya......Apa pun tak dapat.

0 comments:

Post a Comment